JOHOR BAHRU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan kelapa mencukupi menjelang kedatangan Ramadan, pada awal Mac ini.
Timbalan Ketua Pengarahnya, Shahrizan Sudiman berkata, pembekalan 640 tan metrik kelapa akan dibekalkan dari Indonesia termasuk Sabah dan Sarawak ke Semenanjung setiap bulan, sejak Disember lalu.
Katanya pihaknya yakin krisis bekalan kelapa yang berlaku sejak Julai tahun lalu berjaya diatasi dengan langkah intervensi yang dilaksanakan ini.
“Alhamdulillah, ia berjalan seperti mana dirancang, bekalan dari Sabah dan Sarawak akan sampai ke Semenanjung pada 20 Februari ini. Ia akan dibekalkan seluruh negeri melalui pusat operasi kita yang berada di seluruh negara.
“Jadi Insya Allah, kita beri jaminan dari segi bekalan mencukupi dan kita turut buat kolaborasi dengan pengusaha dan pemborong kelapa di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Pasar Tani yang ke 40 peringkat negeri Johor di Pasar Tani Kekal Permas Jaya di sini yang dirasmikan Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Hafiz Ahmad .
Pada 2 Februari lalu, Bekas Pengurus Pusat Operasi FAMA Batu Pahat, Musa Abdul Kahar dilaporkan berkata, bekalan kelapa dalam negara berkurangan 60 peratus sejak Ogos lalu susulan musim melawas yang dijangka hanya akan pulih Mei depan.
Beliau turut dilaporkan berkata, musim melawas itu paling teruk pernah melanda sekali gus menjejaskan industri penanaman kelapa susulan faktor perubahan cuaca.
Katanya, selain faktor cuaca, bekalan kelapa tempatan juga semakin terjejas dengan penurunan ketara kawasan penanaman kelapa di negara ini yang direkodkan sejak 30 tahun lalu.
Menurut Shahrizan, seluruh negara mengalami isu ini dan situasi amat kritikal khususnya di Kelantan dan kawasan Pantai Timur disebabkan penggunaan kelapa di sana lebih banyak.
“Di kawasan-kawasan kita ini (Selatan), biasanya ia mencukupi sebab kita ada bekalan tempatan dan import sikit dari Indonesia,” ujarnya.