Fahaman bertentangan ASWJ di Perak terkawal

Fahaman bertentangan ASWJ di Perak terkawal

PEJABAT MUFTI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Gerakan fahaman yang bertentangan dengan manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ) berlaku di negeri Perak namun keadaan tersebut adalah terkawal.

Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak), Abd. Farid Salleh berkata, kawalan itu berjaya dicapai menerusi kerja keras Jabatan Mufti negeri untuk memerangi sebarang gerakan yang ingin dikembangkan.

Katanya, ancaman baharu tetap muncul menerusi kecanggihan media sosial yang membolehkan sesiapa sahaja bercakap soal agama tanpa sekatan.

“Fahaman-fahaman yang bertentangan dengan ASWJ ini memang ada. Inilah ancaman kita sekarang. Lebih-lebih lagi melalui media sosial. Kumpulan-kumpulan ini telah menyebarkan fahaman mereka melalui media sosial.

“Sebab apa mereka mengembangkan menggunakan media sosial? Sebab media sosial tidak perlukan tauliah (mengajar agama). Kalau di masjid atau surau, sukar untuk mereka lepas,” katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia pada program Nadwah Pemikiran Islam 2025 yang diadakan di Masjid Negeri Perak, Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh, baru-baru ini.

Tambahnya, usaha kini dibuat untuk memberi kefahaman sebenar kepada masyarakat tentang ASWJ mengikut kerangka al-Asyairah dan al-Maturidiyah yang dinyatakan membentuk 95 peratus daripada keseluruhan umat Islam.

“Kadang-kadang orang bertanya al-Asyairah dan al-Maturidiyah ini apa? Pada waktu dulu kita tidak menyebutnya. Kita hanya sebut ASWJ.

“Tetapi oleh kerana ada juga kumpulan yang mendakwa mereka juga Ahli Sunah, membawa gerakan dan akidah sunah. Tetapi sebenarnya akidah itu adalah bertentangan dengan AWSJ. Sebab itu kita nyatakan mengikut kerangka al-Asyairah dan al-Maturidiyah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN