SEOUL: Dua maut dan tujuh yang lain cedera selepas jambatan runtuh di tapak pembinaan lebuhraya di Korea Selatan, hari ini.
Media tempatan menyiarkan rakaman dramatik yang menunjukkan bahagian jambatan yang runtuh, menyebabkan kepulan asap tebal di udara.
Agensi Bomba Kebangsaan berkata, dua maut dan enam dilaporkan parah, manakala seorang lagi hanya cedera ringan.
Pihak berkuasa masih mencari tiga mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan, kata kenyataan itu.
Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri memberitahu AFP, kesemua mangsa yang cedera dipindahkan ke hospital.
Kejadian berlaku sekitar pukul 9.50 pagi waktu tempatan di Anseong, kira-kira 65 kilometer (km) ke selatan ibu negara Seoul.
Lima struktur besi sepanjang 50 meter yang menyokong jambatan lebuhraya runtuh satu persatu selepas diangkat oleh kren, lapor agensi berita Yonhap.
Pemangku Presiden, Choi Sang-mok mengeluarkan arahan segera untuk menggerakkan semua sumber dan anggota yang ada bagi operasi menyelamat.
Menurut data dari kementerian tenaga kerja Seoul, lebih daripada 8,000 kematian berkaitan pekerjaan berlaku di negara itu dari 2020 hingga 2023.– AGENSI










