KOTA BHARU: Kepemimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang masih diperlukan untuk mengemudi Pas seperti mana yang dilakukannya sebelum ini sehingga parti itu berada di tahap terbaik.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun bergelut dengan masalah kesihatan terutama sakit lutut, Abdul Hadi masih mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai Presiden Pas.
Katanya, keupayaan Ahli Parlimen Marang itu mengemudi Pas tidak boleh sekadar diukur atas faktor kesihatan dan fizikal, sebaliknya perlu juga dilihat dari sudut minda, pengarahan dan strategi yang disusun.
“Kita lihat di bawah kepemimpinan beliau (Abdul Hadi), pencapaian Pas adalah antara yang terbaik. Kalau sudah berada pada tahap terbaik buat apa kita tukar? Sehingga kini beliau masih mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.
“Mesyuarat bulanan parti berjalan seperti biasa dan beliau masih mampu menghadiri program pengisian di seluruh negara. Lagipun jawatan kepemimpinan parti ini bergantung kepada perwakilan serta ahli dan bukannya pada kita (pemimpin) sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Dataran Ilmu, di sini, semalam.
Katanya, beliau secara peribadi menyimpan hasrat menolak pencalonan bagi merebut jawatan tertinggi parti itu pada pemilihan parti tahun ini.
Kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, pencalonan bagi pemilihan yang dijangka berlangsung semasa Muktamar Pas di Kedah pada September ini adalah bergantung kepada keputusan perwakilan parti di setiap kawasan.
“Pas sentiasa mengamalkan keterbukaan dan berpendirian semua jawatan boleh dipertanding serta semua ahli layak dicalonkan. Kita tidak pernah menyekat mana-mana ahli dicalonkan bagi mana-mana jawatan,” katanya.










