BAGAN SERAI: Kerajaan diminta membenarkan pesawah mengisar padi menggunakan mesin bagi menghasilkan beras untuk digunakan sendiri atau dijual kepada komuniti setempat bagi mengatasi kekurangan beras tempatan di pasaran.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) Perak Utara, Azhar Hashim, pesawah mampu mengisar padi untuk dijadikan beras tanpa dikenakan halangan undang-undang yang membataskan mereka untuk mengisar padi sendiri.
Selain itu, katanya, pesawah boleh menyimpan dan memproses padi kepada beras sebagaimana yang dilakukan pada zaman dahulu.
“Untuk itu kerajaan perlu melonggarkan beberapa syarat terutamanya Akta 522, Akta Perundangan Padi dan Beras 1994 yang untuk mengawal selia industri padi dan beras. Akta ini memberikan kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengawal pelbagai aspek berkaitan pengeluaran, pengedaran, dan perdagangan beras serta padi di negara ini.
“Secara umumnya, Akta 522 menetapkan beberapa peraturan yang membatasi kebebasan pesawah dan pengusaha padi dalam menguruskan hasil mereka.
“Salah satu aspek utama yang sering menjadi perhatian adalah sekatan terhadap pesawah untuk menyimpan, mengisar, atau mengedarkan beras mereka sendiri tanpa kebenaran atau kelulusan tertentu daripada pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Azhar berkata, akta ini bertujuan memastikan kualiti dan kuantiti beras yang ada di pasaran dapat dipantau dengan lebih ketat, serta untuk menstabilkan pasaran beras negara namun menghalang kepada kebebasan pesawah mengusahakan hasil pertanian dengan lebih fleksibel.
Katanya, beberapa pihak mencadangkan supaya akta ini dipinda atau dilonggarkan agar pesawah dapat memanfaatkan hasil padi mereka dengan lebih berkesan, seperti mengisar padi menjadi beras untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada komuniti setempat tanpa sebarang sekatan yang ketat.
“Jangan halang pesawah yang hendak mengisar padi sendiri menjadi beras untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada komuniti setempat. Mereka mahu merasai beras dari hasil tuaian mereka sendiri,” katanya.
Katanya, negara luar kebanyakannya tidak menghalang pesawah untuk menyimpan hasil tuaian dan menghasilkan beras sendiri.
“Kita perlu kembali kepada tradisi ini supaya pesawah dapat menikmati padi yang ditanam,” katanya. – UTUSAN










