Bas.My lancarkan urusan penduduk

Bas.My lancarkan urusan penduduk

ORANG ramai menunggu Bas.My untuk ke destinasi lain di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Murah, efisien dan sangat selesa. Itu gambaran penumpang terhadap perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) atau Bas.My di Terengganu yang bermula akhir bulan lalu.

Orang ramai mengakui kewujudan bas itu banyak membantu mereka menjimatkan perbelanjaan untuk ke pusat bandar ini dan melancarkan pelbagai urusan penting.

Seorang ibu tunggal, Noorashikin Sulong, 48 berkata, sebelum ini dia membelanjakan hampir RM40 setiap kali mahu pergi ke bandar dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing.

“Ada macam-macam urusan kalau ke pusat bandar, biasanya dengan jabatan kerajaan dan beli sedikit barang keperluan. Kadangkala saya datang dengan kawan dan berkongsi tambang Grab atau Maxim untuk lebih jimat.

“Selepas bas ini beroperasi, saya rasa lega sangat kerana boleh datang ke bandar pada bila-bila masa dengan harga yang sangat murah iaitu RM4.40 untuk perjalanan dua hala,” kata­nya yang tinggal di Marang.

 

BAS SANGAT SELESA

Keluasan tempat duduk juga menyebabkan penumpang selesa menggunakan bas tersebut, ditambah sistem penghawa di­ngin yang sempurna.

Seorang pekerja swasta, Abdul Hadi Zain Abdullah, 33, berkata, bas berwarna merah jambu itu lebih selesa berban­ding bas lama yang digunakan sebelum ini.

“Saya tinggal di Batu Rakit dan melakukan kerja-kerja freelance menyebabkan saya lebih banyak bekerja dari rumah. Buat masa ini, saya memang tidak memiliki sebarang kenderaan kerana tidak mahu terikat dengan komitmen bulanan, lagipun saya tidak selalu ke pusat bandar, hanya dua atau tiga kali sebulan.

“Namun dengan adanya bas ini, perjalanan menjadi lebih selesa, seolah-olah berada di Lembah Klang kerana kemudahan pengangkutan awamnya semakin efisien yang sesuai untuk orang bujang seperti saya,” katanya.

Seorang buruh binaan, Muhammad Haikal Rosli, 40, pula berkata, kerusi bas itu sangat selesa berbanding bas sebelum ini yang agak sempit untuk individu berbadan besar.

“Biasanya saya datang ke bandar naik motor kecuali bawa isteri dan dua anak berjalan, perlu bayar mahal sedikit untuk naik e-hailing.

“Saya tengok susun atur kerusi dalam bas ini lebih besar dan selesa untuk saya yang bertubuh gempal. Saya akan jadikan bas ini sebagai ken­deraan utama ke pusat bandar,” kata­nya yang tinggal di Bukit Payong, Marang.

 

KHIDMAT Bas.MY menyediakan tempat duduk lebih luas dan selesa untuk kegunaan harian penduduk.

JADUAL PERJALANAN SISTEMATIK

Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia di terminal bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), orang ramai berpuas hati menggunakan bas tersebut kerana ia beroperasi mengikut jadual perjalanan ditetapkan.

Nurulhuda Kamarulzaman, 42, berkata, kekerapan bas tersebut adalah sekali setiap satu jam dengan operasi bermula pada pukul 6 pagi hingga 7.30 malam.

“Bagi saya, memang sangat efisien dan sistematik kerana mudah untuk masuk kerja tanpa perlu risau terlewat hingga dimarahi majikan.

“Dalam tempoh 10 hari saya gunakan bas ini datang tepat pada waktunya dan saya rasa semakin ramai yang akan menggunakan bas ini kerana lebih murah dan selamat berbanding menunggang motosikal,” kata­nya yang bekerja di sebuah pasar raya di sini.

Seorang pekerja swasta, Ahmad Shahanizam Ahmad Hanafi, 39, pula berkata, dia ‘terkejut’ apabila hanya dikenakan bayaran tambang RM1.25 sehala dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke terminal bas MBKT.

“Saya tinggal di Gombak dan datang ke Kuala Terengganu untuk bercuti secara solo. Belum sempat nak buat tempahan e-hailing ke bandar, saya ternampak bas ini dan saja bertanyakan destinasi dan kadar tambangnya.

“Tak sangka sangat murah dan perjalanan pun lancar. Kemudahan ini sangat bagus untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk Terengganu terutama yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi,” katanya.

 

IMBAU MEMORI

Beberapa penumpang yang ditemui pula mengakui kewujudan bas tersebut menggamit memori ketika mereka masih kecil dan ingin memberi peluang untuk anak mereka pula merasai pengalaman yang sama, kali ini.

Penjawat awam, Noor Nadia Abdul Rahim, 44, berkata, pada zaman 1980-an, tidak ramai yang mempunyai kende­raan sendiri kerana ia dianggap sesuatu yang ‘mewah’.

“Ketika itu, ayah sering bawa saya ke pusat bandar menaiki bas untuk membeli pakaian sekolah atau kasut setiap kali sesi persekolahan baharu bermula.

“Begitu juga dengan musim perayaan, kami empat beradik naik bas ke bandar membeli baju kurung dan barangan ke­perluan lain.

“Kali ini, saya sengaja ambil peluang cuti sekolah menaiki Bas.MY untuk ke bandar dengan dua anak saya agar mereka tahu bagaimana kehidupan orang lain pada zaman dahulu yang tidak mempunyai kereta agar lebih bersyukur dengan

kehidupan sekarang,” katanya yang memuji usaha kerajaan menyediakan kemudahan tersebut.

 

JARINGAN PENGANGKUTAN AWAM

SBST yang dijenamakan semula sebagai Bas.My adalah satu inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) dan dikawal selia oleh Agensi Pe­ngangkutan Awam Darat (APAD).

Senator Mohd Hasbie Muda berkata, matlamatnya adalah menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang lebih baik kepada penduduk setempat sekali gus melonjakkan sektor pelancongan di Terengganu.

“Selain itu, ada kemudahan kad konsesi iaitu kad khusus untuk kategori orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), warga emas berumur 60 tahun ke atas dan pelajar sekolah berusia tujuh hingga 17 tahun.

“Golongan ini menikmati manfaat tambang percuma perkhidmatan Bas.MY. Menerusi Belanjawan 2025, manfaat ini akan diperluas kepada golongan mahasiswa dan diharap inisiatif kerajaan ini akan membantu rakyat untuk mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×