KUALA LUMPUR: Bank Rakyat meneruskan tradisi menghargai pelanggan dengan menyediakan platform mengembangkan perniagaan produk serta inisiatif Jangkauan Komuniti kepada masyarakat dengan peruntukan lebih RM900,000.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff dalam satu kenyataan berkata, ia bersempena dengan bulan Ramadan dan Syawal dengan mengangkat tema ‘Hulurkan Salam’ sebagai simbolik penghargaan bank berkenaan kepada pelanggan yang setia bersamanya.
“Tradisi menghulurkan salam adalah lebih daripada sekadar ucapan, ia adalah tanda kasih sayang, keikhlasan serta kemaafan yang mengeratkan hubungan antara setiap insan. Bank Rakyat bukan sahaja sebuah institusi kewangan, tetapi juga rakan perbankan yang dipercayai dalam perjalanan hidup pelanggan kami yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang sosial. Sepanjang 70 tahun penubuhan Bank Rakyat, hubungan erat yang kekal terjalin antara Bank dengan pelanggan dan komuniti adalah asas keutuhan kami.
“Kami berharap menerusi pelbagai inisiatif yang telah direncanakan menerusi kempen ini dapat mengeratkan lagi hubungan kami dengan setiap pelanggan serta memberi mereka lebih banyak kegembiraan dan keceriaan sempena bulan yang penuh bermakna ini,” katanya.
Tahun lalu, hampir 500 orang pemenang menerima manfaat dan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM750,000.
Kempen Utama di bawah Hulurkan Salam yang bakal berlangsung bermula 1 Mac sehingga 31 Mei 2025 menawarkan hadiah berjumlah RM370,000 dengan hadiah istimewa termasuk kereta mewah Jaecoo J7, Proton e.MAS dan motosikal elektrik BMW CE 04.
Katanya, hadiah kenderaan elektrik ini seiring dengan komitmen Bank Rakyat dalam menyokong matlamat karbon sifar bersih dan penggunaan teknologi hijau serta mesra alam.
“Kempen ini diharap dapat menggalakkan orang ramai untuk memilih pilihan lebih lestari dalam kehidupan mereka,” tambahnya.
Sempena bulan Syawal ini, tambahnya lagi, Cabutan Khas Akaun Pelaburan-i Rizq Plus juga akan diadakan dengan menawarkan hadiah utama sebanyak RM100,000 serta emas 20 gram yang berpeluang untuk dimenangi oleh lima pelanggan bertuah.
Menerusi Kempen Hulurkan Salam, Bank Rakyat turut menawarkan pelbagai rebat dan ganjaran istimewa seperti Kempen Rebat Petrol yang berlangsung dari 27 Mac sehingga 10 April 2025, yang mana pelanggan boleh menikmati diskaun lima peratus bagi pembelian petrol, diesel serta barangan runcit di stesen minyak seluruh negara.
Selain itu, Kempen Rebat Barangan Runcit menawarkan diskaun tiga peratus bagi pembelian barangan keperluan harian dari 27 Mac sehingga 3 April 2025 dan Kempen Rebat Emas menawarkan diskaun satu peratus bagi pembelian emas menggunakan Kad Kredit-i Bank Rakyat bermula 1 Mac sehingga 30 April 2025.
Manakala melalui Kempen iRakyat Duit Raya, pelanggan yang melakukan jumlah transaksi duit raya tertinggi dari 17 Mac hingga 13 April 2025 berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM2,000. – UTUSAN










