Banjir: Ambil kira kesan alam semula jadi

Banjir: Ambil kira kesan alam semula jadi

TANGKAP layar video tular yang memaparkan kejadian banjir di Kajang, Selangor tahun lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Faktor perubahan bentuk muka bumi akibat pembangunan tidak seimbang dengan alam semula jadi dilihat sebagai penyebab utama berlakunya banjir besar, khususnya di Selangor.

Pensyarah Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Madya Dr. Aweng A/L Eh Rak, berkata, kesan perubahan topografi akibat pembinaan yang tidak mengutamakan kelestarian alam boleh menyebabkan banjir yang lebih teruk, seperti yang berlaku pada banjir besar di Selangor tiga tahun lalu.

Aweng berkata, meskipun langkah seperti pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) boleh dilaksanakan untuk menangani banjir, namun ia bukanlah penyelesaian menyeluruh kepada masalah tersebut.

“Banjir berlaku kerana perubahan berlaku di sesebuah kawasan, misalnya, kawasan tinggi yang telah ditarah, kawasan rendah ditambak yang memberi kesan perubahan bentuk muka bumi lalu menyumbang kepada peningkatan risiko banjir.

“Justeru, walaupun RTB boleh membantu mengurangkan impak banjir, ia tidak mampu mengembalikan keadaan asal kawasan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar pelaksanaan RTB yang dirancang sebelum ini dipercepatkan.

Projek dianggarkan bernilai RM1.774 bilion itu perlu dibuat segera bagi mengelak insiden banjir besar yang berlaku tiga tahun lalu tidak berulang lagi di Selangor.

Tiga tahun lalu, Selangor mengalami banjir besar yang merosakkan kediaman dan infrastruktur berikutan kesan pembangunan tidak selaras dengan keperluan perlindungan alam sekitar, yang menyebabkan sistem ekosistem tidak dapat berfungsi dengan baik dalam menguruskan aliran air hujan.

Pembangunan perlu selari dengan pemuliharaan alam semula jadi bagi mengelakkan kesan buruk seperti banjir yang lebih teruk.

Aweng berkata, banjir akan berlaku jika pembinaan dilakukan tanpa mengambil kira kesan kepada alam semula jadi dan perubahan iklim.

“Justeru perancangan awal sesebuah pembangunan harus diselaraskan dengan keadaan semula jadi sesuatu kawasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN