700,000 pekerja asing diperlukan dalam tiga sektor

700,000 pekerja asing diperlukan dalam tiga sektor

SEKTOR pembuatan antara sektor yang menggunakan ramai tenaga kerja asing. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara memerlukan kira-kira 700,000 pekerja asing melibatkan pelbagai sektor bagi menyokong ke­upayaan industri dan membangun sektor ekonomi.

Presiden Persekutuan Majikan-Maji­kan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, anggaran itu membabitkan sektor pembuatan, perhotelan dan restoran.

“Sektor pembuatan memerlukan tam­bahan kira-kira 600,000 pekerja asing untuk memastikan operasi berjalan lancar dan memenuhi permintaan pasaran.

“Kekurangan ini menjejas­kan pengeluaran dan keupa­yaan industri untuk memenuhi pesanan pelanggan.

“Selain itu, sektor perhotelan dianggarkan memerlukan kira-kira 20,000 pekerja asing untuk memenuhi keperluan operasi harian dan memastikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan.

“Kekurangan pekerja di sektor perhotelan menyebabkan ke­lewatan untuk daftar masuk dan pelanggan perlu cepat daftar keluar.

“Sektor restoran dan kedai makan pula mengalami kekurangan sekitar 40,000 pekerja asing. Ia menjejaskan keupayaan perniagaan untuk beroperasi pada kapasiti optimum,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 21 Oktober 2024, kerajaan mengekalkan keputusan pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing sehingga suatu tarikh dimaklumkan kelak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, jum­lah pekerja asing dalam negara setakat 15 September lalu telah menghampiri jumlah siling iaitu 15 peratus daripada keseluruhan guna tenaga kerja dalam negara.

Mengulas lanjut, Dr. Syed Hussain berkata, meskipun terdapat program mengambil pekerja dalam kalangan bekas banduan dan bekas penagih namun, ia tidak menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja yang dialami.

“Kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk mena­ngani kekurangan tenaga kerja termasuk memudahkan proses kemasukan pekerja asing dan melaksanakan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin.

“Langkah itu untuk memastikan keperluan tenaga kerja dalam sektor-sektor kritikal dapat dipenuhi. Walau bagaima­napun kekurangan tenaga kerja asing masih belum selesai,” katanya.

Menurutnya, Malaysia sedang menghadapi cabaran besar untuk mencapai pertumbuhan ekonomi tanpa pekerja asing.

Jelasnya, sektor-sektor eko­nomi utama negara seperti pembinaan, perkilangan, perladangan dan perkhidmatan sa­ngat bergantung kepada pekerja asing kerana pekerjaan itu tidak mampu untuk menarik pekerja tempatan.

“Jika tidak, majikan perlu mencari alternatif seperti memperkenalkan teknologi baharu dan automasi tetapi kosnya amat tinggi dan memerlukan masa untuk dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×