Warga emas ditemukan selepas tiga hari mati sendirian di rumah

Warga emas ditemukan selepas tiga hari mati sendirian di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMARANG: Seorang wanita warga emas yang tinggal bersendirian ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Kampung Candirejo, Semarang, Indonesia.

Mangsa yang berusia 67 tahun dipercayai sudah tiga hari meninggal dunia sebelum ditemukan pada petang semalam.

Ketua Balai Polis Tuntang, Suramto berkata, mayat mangsa ditemukan selepas seorang penduduk tempatan melalui hadapan rumahnya dan terhidu bau busuk.

“Penduduk yang curiga melaporkan kejadian kepada ketua kampung, Aiptu Yulius, juga merupakan anggota polis Tuntang,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, ketua kampung bersama penduduk cuba mengetuk pintu rumah mangsa, namun tiada jawapan selain pintu turut berkunci daripada dalam.

“Dengan kehadiran saksi penduduk sekitar, pintu rumah terpaksa dipecahkan dan mangsa ditemukan sudah tidak bernyawa di dalam bilik tidurnya,” ujarnya.

Tambah Suramto, mangsa yang kehilangan suami sejak 10 tahun lalu tinggal bersendirian dan menyara hidup dengan menjual gorengan di kawasan sekitar.

“Berdasarkan maklumat jiran dan keluarga yang tinggal di kawasan sama, mangsa sering mengadu mengalami sakit bahagian perut dan dada,” katanya.

Hasil pemeriksaan pasukan unit pengenalan dan petugas perubatan Pusat Kesihatan Tuntang mendapati tiada sebarang tanda penganiayaan pada tubuh mangsa.

“Keluarga juga menolak untuk melakukan bedah siasat dan jenazah dikebumikan oleh pihak keluarga,” kata Suramto.

Susulan insiden itu, beliau mengingatkan masyarakat untuk lebih prihatin terhadap jiran yang tinggal bersendirian, terutamanya warga emas agar kejadian seperti itu dapat dielakkan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN