Suspek serangan New Orleans bertindak sendiri

Suspek serangan New Orleans bertindak sendiri

PIHAK berkuasa mengawal lokasi serangan trak di New Orleans yang menyebabkan 14 orang terbunuh dalam kejadian pada Rabu.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW ORLEANS: Siasatan awal menunjukkan veteran tentera Amerika Syarikat (AS) yang menjadi pengikut setia kumpulan militan ISIS bertindak sendirian, ketika serangan trak yang mengorbankan 14 nyawa dan mencederakan 30 lain dalam sambutan tahun baharu di New Orleans.

Menurut Timbalan Penolong Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Christopher Raia, Shamsud-Din Jabbar, 42, turut menyiarkan beberapa video ke platform dalam talian yang mengisytiharkan sokongannya untuk ISIS sejurus sebelum serangan itu.

“Kami tidak menilai pada ketika ini bahawa orang lain terlibat. Suspek 100 peratus dipengaruhi oleh ISIS. Bendera hitam ISIS turut dilekatkan pada tiang di belakang kenderaannya,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, Shamsud-Din merempuh orang ramai di Jalan Canal dan Bourbon, French Quarter, New Orleans menggunakan trak pikap Ford F-150 yang disewanya.

Raia berkata, Jabbar maut dalam insiden tembakan selepas keluar dari kenderaannya dan mencederakan dua anggota polis yang berada di kawasan itu.

Beliau berkata, Jabbar turut menanam dua bom buatan sendiri dengan peledak jarak jauh dalam bekas penyejuk minuman di jalan French Quarter tetapi sempat dimusnahkan oleh anggota polis.

Serangan berlaku beberapa jam sebelum insiden sebuah Tesla Cybertruck yang meletup di luar Hotel Antarabangsa Trump.

Dalam kejadian itu, seorang tentera pasukan khas AS, Matthew Alan Livelsberger menembak dirinya sendiri di dalam kenderaan tersebut yang kemudiannya terbakar apabila bom buatan sendiri turut meletup di dalamnya.

Menurut polis, kenderaan dalam kedua-dua kes telah disewa melalui aplikasi perkongsian kereta Turo.

Bagaimanapun, Raia berkata, siasatan awal tidak menemukan sebarang kaitan antara serangan di New Orleans dan di Las Vegas.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN