Pusingan kerja dilaksana JKDM beri impak signifikan - Utusan Malaysia

Pusingan kerja dilaksana JKDM beri impak signifikan

ANIS RIZANA MOHD. ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan pusingan kerja dilaksanakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memberi impak signifikan kepada prestasi agensi terbabit termasuk pencapaian kutipan hasil sebanyak RM65.57 bilion pada tahun lalu.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, angka berkenaan mencatatkan peningkatan sebanyak RM10.40 bilion atau 18.85 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ia sekali gus menunjukkan keberkesanan strategi berkenaan dalam memperkukuh keberhasilan serta memacu prestasi unggul dalam setiap aspek operasi jabatan.

Menurutnya, pelaksanaan pusingan kerja secara menyeluruh menjadi antara langkah strategik utama dalam memperkukuhkan keberkesanan tadbir urus serta mengurangkan risiko integriti di lokasi berisiko tinggi.

“Sepanjang tahun lalu, JKDM melaksanakan pusingan kerja di seluruh negara membabitkan 840 pegawai pelbagai gred jawatan.

“Langkah itu bukan saja bertujuan memastikan pematuhan kepada reformasi sektor awam tetapi juga untuk mempertingkatkan kompetensi dan produktiviti pegawai yang terbabit serta integriti perkhidmatan JKDM, selain menambah pengalaman dan kepakaran sedia ada pegawai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan itu selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (Kaedah Penempatan Pegawai Dalam Perkhidmatan Awam dan Urusan-Urusan Lain Berkenaan Penempatan), Ceraian UP.2.2.1, dan Perintah Tetap Perjawatan Bilangan 78 (Dasar Penempatan dan Pertukaran Pegawai JKDM).

“Langkah strategik itu diambil bagi meningkatkan kepakaran dan kemahiran serta pengalaman warga JKDM bagi memenuhi keperluan menambah baik penugasan warga JKDM, sekali gus memastikan keseimbangan fungsi dan keberkesanan pelaksanaan tugas demi kepentingan kemajuan kerjaya warga pada masa hadapan.

“Kitaran kerja itu dirancang untuk memastikan setiap pegawai terdedah kepada pelbagai aspek operasi bagi membangunkan kemahiran baharu serta meningkatkan integriti dan ketelusan melalui peralihan tanggungjawab yang berkala.

“Ia memberi peluang kepada pegawai meningkatkan kecekapan individu dan pasukan melalui pendedahan kepada pelbagai peranan di samping mengekalkan keseimbangan beban kerja antara bahagian kritikal dengan memastikan tenaga kerja yang mencukupi dan kompeten,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu turut bertujuan memelihara integriti warga Kastam yang mengisi jawatan berisiko dan terdedah kepada salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah akibat terlalu lama bertugas di satu-satu tempat.

“Pelaksanaan pusingan kerja itu juga berjaya memecahkan mentaliti dalam kalangan warga kerja apabila pegawai didorong untuk memahami keseluruhan fungsi jabatan dan tidak berfokus kepada sesuatu fungsi sahaja, seterusnya memupuk budaya kerjasama dan mengurangkan halangan komunikasi antara bahagian.

“Ia membolehkan pegawai melihat organisasi di mana mereka ditempatkan daripada perspektif berbeza dan dengan itu mereka dapat mencuba pendekatan baru yang boleh mempertingkatkan lagi keberkesanan organisasi dan seterusnya menjadikan JKDM lebih berkesan dan bersinergi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya