SEOUL: Agensi antirasuah Korea Selatan meminta polis untuk mengambil alih pelaksanaan waran tangkap terhadap Presiden Yoon Suk Yeol.
Permintaan itu dibuat selepas percubaan gagal untuk melaksanakan waran tangkap 3 Januari lalu, berikutan konfrontasi dengan pengawal presiden yang membentuk rantaian manusia bagi menghalang akses penyiasat.
Pasukan penyiasat bersama dari Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) dan polis sedang menyiasat dakwaan Yoon mendalangi pemberontakan melalui pelaksanaan undang-undang tentera.
CIO dilaporkan menghantar notis kepada polis untuk meminta mengambil alih pelaksanaan waran tangkap itu.
Tindakan itu dibuat di tengah kekecewaan dalam kalangan pengkritik Yoon terhadap CIO kerana sehingga kini gagal melaksanakan waran tangkap, yang tamat pada tengah malam Isnin.
Seorang pegawai polis memberitahu agensi berita Yonhap, pihaknya sedang meneliti undang-undang secara dalaman berikutan permintaan daripada CIO.
Peguam Yoon mendakwa, pasukan antirasuah yang mengetuai siasatan jenayahnya tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang-undang Korea Selatan untuk menyiasat sebarang kes melibatkan tuduhan pemberontakan.
Mahkamah Daerah Barat Seoul pada Ahad menolak injunksi yang difailkan pasukan undang-undang Yoon untuk membatalkan waran tangkap terhadap presiden dan menyiasat kediaman rasminya, lapor Yonhap.
Di tengah ketegangan politik berterusan, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken sedang melawat Korea Selatan minggu ini dan dijangka bertemu pegawai kanan kerajaan untuk mengukuhkan pakatan dengan Seoul, menurut Jabatan Negara AS.- REUTERS










