KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar perbuatan pegawai bank menerima komisen sehingga RM5,000 bagi meluluskan pinjaman kepada penjawat awam yang keseluruhannya bernilai RM700 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai bank terbabit bertindak mengambil komisen antara 0.5 hingga 1 peratus bagi meluluskan pinjaman yang dibuat.
Beliau berkata, setakat ini SPRM telah merampas 4,000 dokumen, selain akan menahan 16 pegawai bank dan memanggil syarikat perundingan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Pegawai bank yang ditahan membabitkan pelbagai jawatan dan sudah bekerja antara lima hingga 20 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Azam berkata, SPRM setakat ini sedang menyenaraikan peminjam-peminjam terlibat dan mereka akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.
Kelmarin, media melaporkan SPRM mendapati sejumlah RM700 juta pinjaman sudah diluluskan kepada 4,000 penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan.
Azam dilaporkan berkata, pinjaman yang diluluskan itu daripada pelbagai bank sejak syarikat berkenaan beroperasi tahun 2020.
Menurutnya, sindiket dipercayai menawarkan khidmat bantuan perunding kewangan kepada kakitangan awam melalui platform media sosial dan jelajah ke jabatan serta kementerian.
Isnin lalu, SPRM menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan penggubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan institusi kewangan susulan penahanan 12 individu di sekitar Lembah Klang.
Kesemua suspek termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 40-an ditahan dalam serbuan Op Sky di 24 lokasi termasuk rumah dan pejabat pada 13 Januari lalu.
Mereka yang ditahan termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, selain seorang pengarah yayasan, pengurus dan bekas pengurus jualan institusi kewangan. – UTUSAN










