Pasukan khas ditubuh siasat punca kebakaran pesawat Air Busan

Pasukan khas ditubuh siasat punca kebakaran pesawat Air Busan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan menubuhkan pasukan tindak balas kecemasan untuk menyiasat punca kebakaran yang berlaku dalam penerbangan Air Busan, semalam.

Pesawat Air Busan, Airbus A321-100 yang dijadualkan berlepas ke Hong Kong dari Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae di Busan, terbakar di bahagian ekornya kira-kira pukul 10.26 malam (waktu tempatan) sebelum berlepas.

Kesemua 176 orang, termasuk 169 penumpang dan tujuh anak kapal, berjaya menyelamatkan diri sebelum kebakaran pesawat itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.31 malam.

Tujuh orang sedang menerima rawatan akibat kecederaan, dengan empat daripadanya adalah anak kapal mengalami ketidakselesaan dada kerana terhidu asap dan tiga sakit tulang belakang, semasa proses pemindahan.

Presiden sementara yang juga Menteri Kewangan, Choi Sang-mok mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap kejadian itu, susulan keterangan beberapa penumpang mendakwa kebakaran berlaku di ruang penyimpanan atas.

“Dengan beberapa penumpang turut mengalami kecederaan semasa proses pemindahan, tindakan susulan segera adalah sangat diperlukan,” katanya dalam mesej dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, hari ini.

Menurut sistem maklumat teknikal penerbangan Kementerian Pengangkutan, pesawat Air Busan beroperasi selama lebih 17 tahun, tanpa sejarah kemalangan dalam 12 tahun terakhir.

Sekurang-kurangnya 20 tahun perkhidmatan diperlukan untuk kapal terbang itu mendapat pemeriksaan yang lebih ketat oleh kementerian.

Sementara itu, media tempatan melaporkan penumpang mendakwa kebakaran itu kelihatan bermula dari bagasi yang disimpan di ruang penyimpanan atas tempat duduk di bahagian belakang pesawat.

Seorang lagi penumpang di bahagian hadapan pesawat pula berkata, mereka hanya menyedari kebakaran itu selepas mendengar seseorang menjerit ‘api!’ di belakang.

“Tiada pengumuman khusus dibuat mengenai kebakaran itu kerana asap merebak dengan cepat ke arah hadapan kabin.

“Keadaan menjadi huru-hara, semua penumpang menolak antara satu sama lain untuk keluar dari pesawat,” kata seorang penumpang kepada News1.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×