PETALING JAYA: Pendidikan Malaysia Mesir (EME) mengesahkan lapan orang pelajar Malaysia mahasiswa Universiti Al-Azhar terlibat kemalangan kereta ketika dalam perjalanan rehlah ke Port Said kira-kira pukul 12 tengah hari.
Badan dibawah Kementerian Pengajian Tinggi itu dalam kenyataan memaklumkan, lima orang pelajar, Muhammad Firdaus bin Yacob, Muhammad Adli Fitri bin Mohd Anuar, Shahrul Aiman bin Jaafar, Muhammad Zulfiqar bin Ahmad Tarmizi, dan Muhammad Hazieq Badrisyah bin Norhamedon, mengalami luka-luka ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Manakala tiga orang pelajar, Muhammad Zafri bin Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi bin Nazri, dan Muhammad Rais Zafran bin Muhammad Shuhaimi ditempatkan di wad untuk pemerhatian lanjut oleh pihak hospital.
“Insiden ini juga mendapat perhatian pihak Universiti Al-Azhar apabila mereka menghantar pegawai dari Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Mahasiswi) kampus Port Said, Dr Syaima Amir Al Bana, Dr Fauziyah Muhallal, Dr Ahmad Al Sudani, dan Madam Syaima’ Al Huseini untuk membantu rawatan para pelajar, seterusnya memudahcarakan pengurusan bersama pihak hospital.
“Menjelang awal pagi hari ini (semalam), tiga pelajar yang dirawat dalam wad dibawa ke hospital Sayed Galal di Kaherah untuk rawatan lanjut.
“EME mendoakan kesemua pelajar yang terlibat akan sembuh seperti sedia kala dan diberikan kekuatan sepanjang perawatan,” katanya.
EME juga menasihatkan para pelajar agar sentiasa berhati-hati dan waspada dalam menjalankan sebarang aktiviti agar terpelihara daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan EME memantau rapi situasi membabitkan lapan pelajar tersebut.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, Pegawai EME telah melawat pelajar yang terlibat di Hospital As Salam Port Said untuk memberikan bantuan dan menilai keadaan mereka.
“Lima daripada pelajar itu mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
“Tiga lagi yang dalam pemerhatian akan dipindahkan ke Hospital Sayed Galal di Kaherah untuk rawatan berterusan.
“Kedutaan Malaysia di Kaherah memberikan sokongan kepada para pelajar dan akan terus memantau keadaan dengan teliti untuk memastikan kesejahteraan mereka,” katanya.










