Keindahan pantai Pahang, Kelantan lenyap jadi ‘mangsa’ hakisan

Keindahan pantai Pahang, Kelantan lenyap jadi ‘mangsa’ hakisan

SEORANG pengunjung duduk di tapi Pantai Damat, Bachok, Kelantan yang turut mengalami hakisan selepas dilanda ombak besar. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keindahan 11 kawasan pantai di Pahang yang dahulunya menjadi tumpuan dan tarikan pelancong kini semakin sepi apabila dihakis sedikit demi sedikit sehingga ada rumah serta chalet hilang akibat ‘ditelan’ fenomena alam itu.

Lokasi pantai itu ialah di Cherating, Balok, Teluk Chempedak, Kempadang, Sepat dan Cherok Paloh di daerah Kuantan, Tanjung Batu dan Kampung Merchong di Pekan serta Kuala Rompin, Tanjung Gemok dan Kampung Mukut di Rompin.

Pengarah JPS Pahang, Ir. Mohd. Sha’ri Mohammed berkata, 11 kawasan pantai terlibat hakisan di Pahang itu membabitkan jarak kira-kira 100 km daripada 300 km panjang pantai di negeri berkenaan.

“Berdasarkan kajian Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) Negeri Pahang yang sedang dijalankan oleh perunding, hakisan dikesan masih berlaku di 11 kawasan pantai berkenaan. Tahap hakisan berbeza mengikut lokasi. Kajian tersebut akan siap hujung tahun ini,” katanya.

Hasil kajian ISMP Kelantan mendapati sepanjang 9.2 km pesisir pantai Kelantan diancam hakisan sehingga Disember tahun lalu melibatkan empat kawasan pantai di jajahan Bachok iaitu Pantai Damat, Kemayang, Kandis dan Pantai Irama di Kampung

Nipah sementara masing-masing satu di jajahan Pasir Puteh (Bisikan Bayu) dan Kota Bharu (Dasar Sabak).

Pengarah JPS Kelantan, Dr. Siti Fairus Zakaria berkata, Pantai Bisikan Bayu menjadi lokasi paling teruk terjejas melibatkan hakisan sepanjang 3.5 km.

“Ia diikuti Pantai Kemayang (2 km), Pantai Dasar Sabak dan Pantai Damat (1.5 km), Pantai Kandis (0.5 km) serta Pantai Irama di Kampung Nipah (0.2 km),” katanya.

Siti Fairus berkata, berdasarkan rekod terdahulu iaitu sehingga 2020, sepanjang 24.7 km daripada jumlah keseluruhan iaitu 72.4 km garis pantai di Kelantan sudah hilang akibat hakisan.

Katanya, dapatan itu turut menunjukkan majoriti hakisan pantai di negeri ini berada pada tahap tiga iaitu kurang satu meter setahun.

“Kawasan pantai di Kelantan berpasir lurus dan bercerun tinggi serta menghadap Laut China Selatan. Situasi ini menyebabkan pantai Kelantan terdedah kepada ombak yang kuat setiap kali Monsun Timur Laut (MTL) bermula November hingga Mac setiap tahun dengan ketinggian ombak maksimum boleh mencapai 3.5 meter,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN