ASTANA: Penerbitan data kotak hitam dari pesawat Azerbaijan yang terhempas di Kazakhstan bulan lalu ditangguhkan, menurut seorang pegawai negara, semalam.
Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev berulang kali menuduh tentera Russia secara tidak sengaja menembak pesawat Azerbaijan Airlines, menyebabkan ia terhempas ketika cuba mendarat di Kazakhstan pada 25 Disember lalu.
Nahas itu mengorbankan 38 daripada 67 penumpang.
Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Kanat Bozumbayev berkata, terdapat ‘kesukaran’ dalam menyelesaikan laporan berkenaan.
“Kami berharap bahagian awal laporan itu dapat diterbitkan minggu hadapan,” katanya dalam sidang akhbar.
Menurut peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), keputusan siasatan sepatutnya diterbitkan selewat-lewatnya Jumaat atau dalam tempoh 30 hari selepas nahas berlaku berhampiran bandar Aktau.
Sebelum ini, Aliyev menuntut Moscow mengakui kesilapan melepaskan tembakan terhadap pesawat itu ketika ia cuba mendarat di Lapangan Terbang Grozny mengikut jadual.
Russia pula menyatakan sistem pertahanan udaranya aktif pada waktu kejadian bagi menangkis serangan dron Ukraine, tetapi tidak mengesahkan sama ada tembakan terkena pesawat tersebut.
Bozumbayev menjelaskan kandungan kotak hitam sudah dianalisis sepenuhnya, namun pengesahan identiti mereka yang bercakap melalui rakaman itu memerlukan pengesahan daripada waris, yang digambarkan sebagai tugas besar melibatkan kerjasama antarabangsa.
Tambahnya, siasatan jenayah dibuka dan ujian balistik serta bahan letupan sedang dijalankan untuk membina gambaran lengkap insiden itu.
Bozumbayev turut memaklumkan pihak berkuasa Kazakhstan sedang berhubung rapat dengan Moscow dan Baku bagi menyelesaikan siasatan.
Kotak hitam pesawat berkenaan telah dihantar ke Brazil, lokasi di mana pesawat Embraer itu dihasilkan untuk dianalisis dengan penglibatan pakar dari Azerbaijan, Kazakhstan dan Rusia sebelum dikembalikan ke Kazakhstan untuk diumumkan hasilnya.– AGENSI











