SEOUL: Menteri Pengangkutan Korea Selatan, Park Sang-woo bercadang untuk meletak jawatan bagi mengambil tanggungjawab terhadap nahas pesawat Boeing yang dikendalikan oleh Jeju Air pada 29 Disember lalu.
Jeju Air 7C2216, yang berlepas dari Bangkok menuju Muan, mendarat di landasan sebelum meletup dan terbakar selepas melanggar tebing.
“Saya rasa bertanggungjawab besar terhadap bencana ini,” kata Park dalam satu sidang media.
Katanya, beliau akan mencari masa yang tepat untuk meletakkan jawatan selepas menangani situasi semasa.
Kementerian Pengangkutan juga berkata, ia akan segera memperbaiki sistem keselamatan pendaratan lapangan terbang, yang menurut pakar menyumbang kepada kemalangan tragik sehingga meragut 179 nyawa penumpang pesawat tersebut.
Pakar keselamatan udara berkata, benteng yang direka untuk menyokong antena ‘penyetempat’ yang digunakan untuk memandu pendaratan dalam keadaan penglihatan buruk, terlalu dekat dengan hujung landasan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Joo Jong-wan mengakui langkah keselamatan tidak mencukupi semasa pembinaan tebing tersebut, namun ia dilakukan mengikut piawaian ditetapkan Korea dan luar negara.
Minggu lalu, polis menggeledah syarikat Jeju Air dan pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Muan sebagai sebahagian daripada siasatan nahas.
Dua penyiasat Korea juga berlepas ke Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, untuk menganalisis perekod data penerbangan yang rosak semasa nahas.
Perekod data penerbangan, bersama perakam suara kokpit, adalah dua kotak hitam yang mengandungi maklumat penting mengenai kemalangan itu.– REUTERS










