PETALING JAYA: Tiada yang lebih membanggakan bagi warga Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sebangang di Lawas, Sarawak apabila gurunya, Muhammad Nazmi Rosli disenaraikan 10 finalis bagi Hadiah Guru Global 2025.
Hanya selangkah sahaja lagi bagi guru tersebut meraih hadiah wang AS$1 juta, sekali gus diiktiraf sebagai pendidik luar biasa yang menyalurkan sumbangan besar kepada profesion perguruan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melahirkan penghargaan kepada Muhammad Nazmi atas pencapaian membanggakan itu dan membuktikan kemampuan guru Malaysia di pentas dunia.
“Pencapaian Muhammad Nazmi sebagai salah seorang daripada 10 finalis terakhir membuktikan keupayaan guru Malaysia untuk mencipta perubahan besar dan cemerlang di pentas global.
“Kejayaan ini mencerminkan nilai-nilai yang selaras dengan aspirasi pendidikan manusiawi yang mana ia tidak terbatas kepada penyampaian ilmu di dalam bilik darjah malah menerusi pembinaan karakter dan masa depan anak bangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan berkata, kejayaan itu adalah pengiktirafan terhadap kecemerlangan Muhammad Nazmi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dapat mengubah hidup murid ke arah yang lebih baik.
“Tahniah diucapkan kepada Cikgu Muhammad Nazmi Rosli yang berjaya tersenarai antara 10 terbaik Hadiah Guru Global 2025. Terima kasih kerana menginspirasikan kami semua,” katanya,
Perjalananan Muhammad Nazmi, 32, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Nazmi sebelum disenaraikan sebagai salah seorang finalis Hadiah Guru Global 2025 adalah memenangi Malaysia Teacher Prize 2023 anjuran Pertubuhan Pemimpin.
Hadiah Guru Global 2025 anjuran Varkey Foundation itu bertujuan meningkatkan martabat guru di seluruh dunia dan mengiktiraf peranan mereka sebagai penggerak masa depan masyarakat.
Pengumuman pemenang Hadiah Guru Global 2025 akan berlangsung di Dubai pada 11 Februari depan.- UTUSAN










