Guna sampan angkut sawit dalam banjir

Guna sampan angkut sawit dalam banjir

PEKERJA kebun terpaksa membawa buah kelapa sawit menggunakan sampan berikutan kawasan Kampung Permatang di Pasir Salak, Perak dinaiki air Sungai Kinta akibat ban pecah sejak tiga bulan lalu. UTUSANAIN SAFREE BIDIN (B
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Pemilik kebun sawit di Kampung Permatang Pelandok dekat sini terpaksa mengupah pekerja untuk mengangkut buah kelapa sawit menggunakan sampan berikutan kawasan kebun mereka dinaiki air akibat ban pecah.

Pemilik kebun, Piee Mohd Yassin, 65, berkata, keadaan itu sudah berlarutan sejak tiga bulan lalu kerana ban yang pecah masih tidak diperbaiki menyebabkan air Sungai Kinta melimpah ke kebun mereka.

Katanya, dia tiada pilihan selain mengupah pekerja membawa keluar sawit menggunakan sampan kerana kebun dinaiki air sehingga paras paha.

Menurutnya lagi, paras air ketika ini surut sedikit berban­ding semasa musim banjir sebelum ini apabila kawasan kebun dinaiki air sehingga paras dada dan buah sawit langsung tidak dapat dibawa keluar.

“Kami hanya mengupah pekerja mengangkut buah sawit keluar dari ladang baru-baru ini apabila paras air semakin surut. Hampir tiga bulan kami tidak boleh keluarkan buah sawit disebabkan banjir di kawasan kebun.

“Baru-baru ini kami usahakan juga mengeluarkan buah sawit walaupun kebun masih banjir. Buah sawit terpaksa diangkut menggunakan sampan, buah yang dimuatkan dalam sampan ditarik hingga ke kawasan tinggi sebelum diangkat ke dalam kenderaan.

“Cara ini memang sukar tapi kami tetap lakukan kerana jika dibiarkan buah akan rosak dan tidak boleh dijual jika buah sawit lama terendam dalam air,” katanya.

Menurutnya, walaupun upah untuk membawa keluar sawit menggunakan sampan agak tinggi namun ia terpaksa dilakukan.

Sementara itu, seorang pe­kerja, Eddie Rosli Ismail, 26, berkata, pekerjaan itu sukar kerana tidak mudah untuk bergerak di dalam air selain perlu berhati-hati terhadap ancaman haiwan berbisa terutama ular.

“Sudah tiga bulan kami mengambil upah mengangkut buah sawit menggunakan sampan daripada pemilik kebun yang kebun mereka dinaiki banjir.

“Daripada buah terbiar tidak dikutip akibat banjir, usaha kami ini sekurang-kurangnya dapat memberikan hasil kepada pekebun dan kami dapat mencari rezeki,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN