MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memulakan jelajah ke negeri-negeri yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula di Melaka.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jelajah di Melaka hari ini bagi mendengar taklimat awal berkaitan persiapan PRN Melaka yang dijangka diadakan pada tahun depan.
“Kita telah mulakan kerja-kerja memperlengkapkan parti Bersatu dengan barisan kepimpinan baharu selepas berakhir pemilihan bahagian di seluruh negara melainkan Jasin dan Kota Melaka tidak lama lagi.
“Keduanya, kita gerakan usaha menambah ahli dan juga penubuhan banyak cawangan di setiap pusat daerah mengundi (PDM) yang ada di Melaka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang bersama Majlis Badan Pimpinan Bersatu (MPT) Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali dan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Muhyiddin berkata, beliau yakin dengan kepimpinan Rahim akan memperkuat parti itu serta rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi PRN Melaka tidak lama lagi.
Mengenai PRN Sabah beliau berkata, parti itu berjaya membentuk semula Bersatu di negeri itu yang sebelum ini berdepan dengan pelbagai masalah.
Menurutnya, Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin telah pergi ke Sabah mengadakan beberapa pertemuan dan nampak sambutan adalah amat baik.
“Saya sudah dengar laporan daripada Datuk Ronald Kiandee (Naib Presiden), Alhamdulillah di Sabah kita tidak berdepan sebarang masalah. Jadi, ini sebagai langkah permulaan yang disifatkan petanda baik untuk memadapi PRN Sabah tidak lama lagi,” ujarnya.
Sementara itu, Rahim yang baru dilantik Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkata, PN Melaka menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding dua kerusi pada PRN yang lalu.
Beliau berkata, PN Melaka akan bekerja keras bersama Pas dan Gerakan untuk merampas beberapa kerusi lagi bagi membentuk kerajaan di negeri itu.
“Bersatu akan menggempur PRN Melaka yang akan diadakan pada bila-bila masa dengan strategi tersusun dan efektif bagi memastikan rakyat mendapat pilihan kepimpinan yang benar-benar membela nasib mereka,” katanya. – UTUSAN











