AS kenakan sekatan terhadap ketua tentera Sudan

AS kenakan sekatan terhadap ketua tentera Sudan

JENERAL ABDEL FATTAH AL-BURHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap Ketua Tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, yang juga pemimpin de facto negara itu, kerana menggugat kestabilan Sudan serta menghalang peralihan demokratik.

Sekatan itu diumumkan selepas konflik selama 21 bulan antara tentera dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) mengorbankan puluhan ribu nyawa, menyebabkan lebih 12 juta rakyat kehilangan tempat tinggal serta mengheret Sudan ke ambang kebuluran.

Menurut Jabatan Perbendaharaan AS, tentera yang diketuai Burhan didakwa melancarkan serangan maut terhadap orang awam, termasuk menyasarkan sekolah, pasar dan hospital selain dituduh menggunakan sekatan makanan sebagai taktik perang.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, sebelum ini menyatakan jenayah perang dilakukan oleh tentera Sudan sepanjang konflik tersebut.

Pengumuman itu dibuat selepas laporan pembunuhan orang awam di Wad Madani, bandar strategik di negeri Gezira, yang kini menjadi medan pertempuran antara tentera dan RSF.

Walaupun insiden itu tidak disebut dalam kenyataan rasmi, Washington mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut.

Pada Sabtu lalu, tentera Sudan berjaya merampas semula Wad Madani daripada RSF, namun didakwa bertindak ganas di kem pelarian Taiba, kira-kira 20 kilometer dari bandar itu.

Kumpulan hak asasi manusia Sudan mendakwa sekurang-kurangnya 13 orang dibunuh dalam insiden tersebut.

Ketua Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan, Clementine Nkweta-Salami, menyuarakan kebimbangan mengenai serangan balas terhadap orang awam berdasarkan dakwaan afiliasi atau etnik.

Konflik yang berlarutan ini terus memarakkan krisis kemanusiaan di Sudan, meninggalkan kesan mendalam terhadap jutaan rakyat yang terjejas.– BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×