PETALING JAYA: Usul pelaksanaan Akta Pendanaan Politik bukan suatu isu baharu malah sudah dibahas dan dibincangkan sejak tahun 2015.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, isu berkenaan sudah tidak perlu dipanjangkan lagi dan kini terserah kepada kerajaan untuk membawa draf Rang Undang-Undang tersebut ke Dewan Rakyat.
Persoalannya kini menurut beliau, adalah sama ada kerajaan mahu melaksanakannya atau pun tidak.
“Pada 14 Ogos 2015, Datuk Seri Najib Razak telah membentuk Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik. Saya dilantik menjadi ahli jawatankuasa tersebut dan kami hasilkan satu laporan lengkap dengan beberapa syor.
“Kemudian pada Ogos 2018, Tun Dr. Mahathir Mohamad menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya dan saya sekali lagi dilantik sebagai ahlinya. Sekali lagi, satu laporan lengkap termasuk mengenai pembiayaan politik telah disiapkan dan diserahkan kepada kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga telah menyediakan draf RUU Pendanaan Politik pada November 2023.
“Maksudnya perkara ini telah dibincangkan hingga masak. Kerajaan tidak perlu berhelah dengan mengatakan perlu pelbagai kajian lagi.
“Jika hendak laksanakan, terus bawa sahaja satu draf untuk dibincangkan oleh parti-parti politik dan juga dalam Jawatankuasa Pilihan Khas dan setelah dipersetujui oleh semua parti politik, terus bawa saja ke Dewan Rakyat,” katanya lagi.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan supaya kerajaan menguatkuasakan larangan kepada semua parti politik mendapatkan dana luar negara, sekali gus mengelak campur tangan pihak luar dalam sistem politik Malaysia.
Beliau berkata, perkara itu perlu menjadi penegasan dalam melaksanakan RUU Akta Pendanaan Politik demi menjamin ketelusan kepada semua pihak.
Katanya, jika ia berjaya dilaksanakan, beliau percaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan menjadi lebih bersih dan telus berbanding PRU sebelum ini.
“Dalam hal ini Pas sangat bersetuju (pelaksanaan RUU Pendanaan Politik), tetapi kerajaan perlu menyekat dana asing kepada parti politik agar tiada campur tangan asing dalam sistem politik negara.
“Sekiranya kerajaan ingin membentangkan RUU ini, ia sebaiknya dibawa kepada Jawatanakuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi oleh setiap parti politik sebelum dibawa ke Parlimen,” katanya. – UTUSAN










