PUTRAJAYA: Ujian bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diteruskan hari ini seperti yang dijadualkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ujian yang bermula hari ini hingga 5 Disember itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Op Payung.
Beliau berkata, Op Payung itu merangkumi pelan tindakan menghadapi Monsun Timur Laut dan mengikut pekeliling berkaitan bertarikh 22 Oktober lalu.
“Pelan itu sudah pun dilancarkan 28 Oktober lalu. Kita sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi apa jua situasi banjir.
“Kita juga bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memastikan peperiksaan SPM berjalan dengan lancar,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, keputusan untuk meneruskan SPM 2024 ini dibuat selepas mengambil kira nasihat daripada pihak keselamatan khususnya Nadma dan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Beliau berkata, calon SPM yang menduduki peperiksaan hari ini juga dibenarkan memakai pakaian bersesuaian.
Ditanya gesaan segelintir pihak yang mahu ujian itu ditangguhkan, Fadhlina berkata, pihaknya sudah bersedia dengan pelbagai SOP dan bencana banjir bukan perkara baharu kerana ia berlaku setiap tahun.
Menurutnya, cuma kali ini, pihaknya mempertingkatkan persiapan luar jangka termasuk keselamatan dan sokongan psikososial kepada calon.
“Kita tidak pernah pinggirkan aspek keselamatan dan sokongan psikososial. Jika ada isu diluar jangka, kita bersedia untuk tambah baik,” katanya.
Sebelum ini, ada gesaan segelintir pihak termasuk calon SPM 2024 sendiri yang mahu ujian bertutur itu ditangguhkan disebabkan emosi terganggu.
Ada juga mendakwa pakaian uniform sekolah rosak akibat ditenggelami air termasuk alat tulis selain kesukaran untuk mengulangkaji pelajaran.
Dalam pada itu, KPM mengesahkan seramai 5,377 calon SPM 2024 di Kelantan, Terengganu dan Kedah terjejas akibat banjir kali ini.
Bagaimanapun, Fadhlina berkata, kesemua calon itu sudah pun ditempatkan di asrama sekolah dan pusat peperiksaan alternatif sejak kelmarin.
Beliau berkata, calon paling ramai terjejas ialah di Kelantan dengan 3,111 orang, Terengganu (1,734 orang) dan Kedah (532 orang).
“Calon terjejas banjir sudah digerakkan ke asrama atau pusat peperiksaan alternatif. Ini untuk memastikan calon dapat keselesaan dan menduduki peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Selain itu, keperluan tambahan asrama untuk penyediaan makanan akan disalurkan segera oleh KPM dan kualiti penyediaan makanan dititikberatkan,” katanya.
Katanya, sehingga semalam, pemindahan calon-calon yang terkesan dengan banjir dilaksanakan oleh semua peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Fadhlina berkata, pihaknya juga meminta calon persendirian SPM supaya menghubungi JPN bagi memastikan mereka tidak tercicir.
Menurutnya, calon persendirian boleh hadir terus ke pusat peperiksaan alternatif.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pentaksir dan petugas SPM 2024 yang terjejas dengan banjir juga telah digantikan dengan petugas baharu.










