SAO PAULO: Rekod penerbangan pesawat buatan Embraer dari Brazil yang terhempas di Kazakhstan minggu lalu akan dihantar ke negara Amerika Selatan itu untuk dianalisis, menurut kenyataan Tentera Udara Brazil semalam.
Data daripada perakam suara dan data penerbangan kokpit akan diproses di makmal yang dikendalikan oleh penyiasat aeronautik Brazil di ibu negara, Brasilia.
Proses tersebut akan dipantau oleh wakil dari Kazakhstan, Russia dan Azerbaijan, menurut kenyataan itu.
Selepas selesai dianalisis, data berkenaan akan diserahkan kepada pihak penyiasat di Kazakhstan untuk tindakan lanjut.
Pada Ahad, Azerbaijan memperingati juruterbang dan penumpang pesawat Azerbaijan Airlines yang terlibat dalam tragedi itu.
Nahas tersebut meragut 38 nyawa selepas pertahanan udara Russia digunakan terhadap serangan dron Ukraine.
Pesawat tersebut dilaporkan terhempas berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan pada Rabu lalu, selepas melencong dari kawasan selatan Russia di mana beberapa bandar diserang oleh dron Ukraine.
Azerbaijan mendakwa Russia adalah dalang di sebalik insiden tersebut dan Presiden Vladimir Putin hanya mengemukakan permohonan maaf kepada rakan sejawatannya, Ilham Aliyev.- AGENSI











