Rakyat Malaysia belanja RM1,200 sebulan makan di luar

Rakyat Malaysia belanja RM1,200 sebulan makan di luar

RESTORAN yang menyajikan pelbagai masakan tradisional dan barat pasti mengundang keterujaan kepada individu yang gemar makan di luar. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketagihan makan di luar menyebabkan sebahagian besar pendapatan bulanan rakyat negara ini dihabiskan untuk memenuhi keinginan tersebut.

Amalan itu mengakibatkan penyusutan pendapatan isi rumah, sekali gus menjadikan mereka lebih terkesan terhadap kenaikan mendadak harga makanan dimasak, meskipun kadar inflasi utama menunjukkan penurunan.

Berdasarkan laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara, kajian menunjukkan rakyat Malaysia menghabiskan purata RM800 hingga RM1,200 sebulan untuk makanan di luar.

Statistik menunjukkan kos perubatan Malaysia meningkat sebanyak 12.6 peratus tahun lalu, melebihi purata inflasi global sebanyak 5.6 peratus.

Peningkatan selari dengan pertambahan 600,000 rakyat dewasa yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) sejak 2019.

Mengulas isu itu, Profesor Pemakanan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Hamid Jan Jan Mohamed berkata, rakyat Malaysia perlu segera mengubah gaya hidup terutama corak pemakanan dan tahap kecergasan yang menyumbang kepada masalah kesihatan sekali gus meletakkan Malaysia negara kedua tertinggi kadar obesiti di Asia Tenggara.

Corak perbelanjaan rakyat untuk membeli makanan dan menanggung kos kesihatan juga menunjukkan peningkatan ke­tara mencatatkan antara jumlah tertinggi dalam Indeks Harga Pengguna (IHP).

Di Malaysia, harga bahan makanan asas seperti gula dan beras adalah antara yang terendah berbanding negara pengeluar lain.

Contohnya, gula dijual pada harga RM2.85 sekilogram dan beras RM2.96 sekilogram, jauh lebih rendah berbanding Thailand, gula RM3.20 sekilogram dan beras RM9.23 sekilogram.

Harga makanan murah ini menyumbang kepada pola pemakanan tidak sihat sekali gus meningkatkan kos perubatan di negara ini.

Hamid Jan berkata, gula bukan sahaja diambil dalam bentuk nyata seperti gula pasir tetapi dalam bentuk tersembunyi, contohnya dalam kuih-muih, minuman manis dan krimer.

Beliau berkata, pengambilan gula tersembunyi sukar dikawal kerana ramai tidak menyedari kandungan yang tinggi dalam makanan dan minuman harian mereka.

“Setiap gram gula mengan­dungi empat kalori dan jika diambil secara berlebihan tanpa aktiviti fizikal yang mencukupi, ia akan ditukar menjadi lemak dan menyumbang kepada obesiti.

“Dalam jangka panjang, tabiat ini boleh menyebabkan peningkatan berat badan, obesiti serta penyakit berkaitan seperti diabetes dan hipertensi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Hamid Jan berkata, harga gula dan beras yang rendah memberi kesan berbeza terhadap pola pemakanan.

Kata beliau, beras adalah makanan asas untuk sumber tenaga, manakala gula lebih bersifat untuk kenikmatan.

“Walaupun harga beras rendah memastikan rakyat mampu mendapatkan makanan ruji, hidangan nasi boleh menjadi sihat atau tidak bergantung pada kuantiti yang dimakan.

“Sebaliknya, harga gula yang rendah boleh mendorong kepada penggunaan secara berlebihan terutama dalam penyediaan makanan dan minuman yang menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan seperti obesiti dan diabetes,” katanya.

Tambah beliau, makanan sihat yang mahal juga menjadi cabaran bagi ramai rakyat Malaysia se­perti buah-buahan, sayur-sayuran dan susu yang dianggap sukar diakses golongan berpendapatan rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×