Peraga kemewahan namun enggan bayar hutang Mara - Utusan Malaysia

Peraga kemewahan namun enggan bayar hutang Mara

ASYRAF Wajdi Dusuki ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Handback Ceremony Tren SCS Class 92 Projek Penyelenggaraan, Pembaikan dan Operasi (MRO) dan Perjanjian Kolaborasi Di Antara M Rail Technics (Railtec) dengan UniKL di Depoh EMU KTMB Seremban hari ini-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki membidas tindakan sesetengah peminjam dari institusi itu yang dilihat sengaja tidak mahu membayar pinjaman sebaliknya memperagakan kemewahan.

Asyraf berkata, pihak Mara tidak pernah memilih bulu sebaliknya mengambil pendekatan berunding dan prinsip ihsan kepada sesiapa yang bermasalah dalam melangsaikan hutang pinjaman.

“Saya tiada kuasa untuk melupuskan apa juga pinjaman tetapi kalau ada masalah datang jumpa (pihak Mara). Jangan pula ada masalah atau tidak ada masalah sengaja tidak mahu bayar tetapi memperagakan kemewahan, jadi ini saya rasa tidak adil bagi semua pihak,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Handback Ceremony Tren SCS Class 92 Projek Penyelenggaraan, Pembaikan dan Operasi (MRO) dan Perjanjian Kolaborasi Di Antara M Rail Technics (Railtec) dengan UniKL di Depoh EMU KTMB Seremban di sini yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Asyraf Wajdi mengulas laporan media mengenai tindakan pegawai Mara yang menyerbu sebuah rumah dipercayai milik pelakon terkenal di Kota Damansara, Petaling Jaya hari ini kerana dikatakan gagal membayar pinjaman berjumlah RM1 juta.

Jelas Asyraf Wajdi, tindakan mahkamah dan perundangan adalah tindakan terakhir yang harus diambil Mara bagi memastikan setiap sen wang rakyat dipulangkan.

“Setiap peminjam yang mempunyai komitmen perlu membayar balik pinjaman perniagaan, atau pendidikan mereka mengikut jadual.

“Sekiranya ada sebarang masalah kita akan minta mereka datang berunding supaya penjadualan dan penstrukturan dapat dilakukan,” katanya yang enggan mengulas jenis pinjaman Mara yang dibuat oleh pelakon berkenaan.

Jelas beliau, berdasarkan kajian, peminjam sering meletakkan Mara sebagai keutamaan terakhir berbanding komitmen lain.

“Bayar hutang keretalah, rumah dan hutang peribadi. Mara terakhir kalau boleh Mara tak bayar pun tidak ada apa sebab bagi mereka, ini hasil daripada kerajaan, ini wang rakyat. Kalau mereka ada masalah berterus terang, ini yang menjadi masalahnya apabila sesetengah pihak ini tidak bersikap tanggungjawab kepada amanah atau hutang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN