KUALA LUMPUR: Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Mercedes Benz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam bagi dua pertuduhan memandu secara melulu dan langgar lari seorang penunggang motosikal sehingga cedera parah, minggu lalu.
Peniaga, Sum Kah Fei, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Haneefa Ariffin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh memandu kenderaan secara melulu sehingga melanggar sebuah motosikal dan menyebabkan penunggang motosikal terbabit, Muhammad Nur’faiz Saini @ Ausaini, 34, mengalami kecederaan parah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pukul 12.35 tengah hari, 15 Disember, di Kilometer 18, Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE), di sini.
Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda minimum RM5,000 atau maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang dan mendapatkan lesen memandu maksimum lima tahun.
Bagi pertuduhan kedua pula, pada masa, tarikh dan tempat sama, Kah Fei didakwa gagal memberhentikan kenderaan apabila berlaku pelanggaran tersebut.
Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibaca bersama Seksyen 119(1)(a) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan.
Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM4,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hanif Ahjiman mencadangkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara tempatan.
Bagaimanapun, peguam bela, Quek Kia Ping yang mewakili tertuduh memohon pengurangan jumlah wang jamin atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin warganegara tempatan dan menetapkan 24 Februari hadapan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, tular di media sosial tindakan seorang pemandu kenderaan mewah melanggar lari selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Kilometer 18, Lebuhraya SPE membawa padah apabila kenderaannya terbakar tidak lama kemudian.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah hari itu, pemandu Mercedes GLE450 AMG dilaporkan sebelum itu telah melanggar penunggang motosikal jenis Honda Vario 160 yang sedang bergerak lurus di lorong kiri, berhampiran Plaza Tol Chan Sow Lin.
Pemandu berusia 34 tahun itu bagaimanapun tidak berhenti selepas pelanggaran itu dan meninggalkan penunggang motosikal yang mengalami kecederaan parah. – UTUSAN








