KINSHASA: Seorang lelaki di barat Congo meninggal dunia selepas mengalami simptom demam berdarah, menimbulkan kemungkinan virus belum dikenal pasti mungkin terlibat dalam wabak yang meragut puluhan nyawa.
Sebelum ini, pihak berkuasa mengesyaki malaria sebagai punca wabak yang sudah meragut sekurang-kurangnya 37 nyawa.
Namun, kematian lelaki terbabit, dipercayai tiada kaitan dengan malaria biasa, memberi petunjuk kemungkinan terdapat virus lain terlibat.
Pegawai Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika, Ngashi Ngongo berkata, mangsa dilaporkan meninggal dunia kelmarin, di kawasan terpencil Panzi, wilayah Kwango, tempat di mana wabak tersebut dikesan.
Ngongo berkata, penyiasatan awal mengesyaki wabak tersebut mungkin berpunca daripada malaria teruk akibat kekurangan zat makanan atau jangkitan virus yang berlaku bersama malaria.
Malaria adalah endemik di kawasan Panzi, yang juga merekodkan banyak kes kekurangan zat makanan, menyukarkan untuk mengenal pasti wabak terbaharu.
Ngongo berkata, setakat ini terdapat 592 kes dilaporkan dan 37 kematian disahkan di fasiliti kesihatan, meningkat berbanding 65 kes serta lima kematian pada minggu lalu.
Daripada sampel yang diambil daripada 51 kes, 86 peratus diuji positif malaria.
Ujian untuk penyakit lain sedang dijalankan di makmal negara dan dijangka siap minggu depan, kata Ngongo.
Minggu lalu, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kebanyakan sampel darah yang diambil di kawasan Panzi positif malaria.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat lebih daripada satu penyakit yang terlibat sehingga mencetuskan wabak itu.– AP










