PORT-AU-PRINCE: Misi Keselamatan Sokongan Multinasional ke Haiti (MSS) yang diterajui pasukan keselamatan Kenya menafikan laporan mengenai pegawainya tidak menerima gaji selama beberapa bulan.
Dalam satu kenyataan semalam, MSS berkata, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tentang pegawai misi tersebut tidak dibayar gaji selama tiga bulan.
“Semua pegawai MSS menerima gaji mereka, termasuk elaun bulanan dan tiada pegawai MSS yang meletakkan jawatan seperti yang didakwa,” menurut kenyataan itu.
Tambah MSS, pegawainya kekal bermotivasi tinggi dan komited untuk membantu Polis Kebangsaan Haiti (HNP) dalam melaksanakan operasi bagi membanteras rangkaian jenayah dan memulihkan kestabilan.
Dakwaan mengenai kelewatan pembayaran gaji muncul di tengah-tengah kesukaran MSS untuk menangani situasi keselamatan yang semakin buruk di Haiti, dengan geng bersenjata terus mengganas dan menawan hampir 85 peratus ibu kota Port-au-Prince di bawah kawalan mereka, menurut anggaran PBB.
Lebih 700,000 penduduk dilaporkan kehilangan tempat tinggal akibat keganasan tersebut.
Laporan agensi berita Reuters pada Jumaat mendakwa, hampir 20 pegawai Kenya meletakkan jawatan disebabkan kelewatan gaji dan keadaan kerja yang tidak memuaskan, memetik tiga sumber tidak dinamakan.
Sejak tiba di Haiti pada Jun lalu, MSS berdepan pelbagai cabaran, termasuk kekurangan dana.
Walaupun pada asalnya dirancang sebagai misi kepolisan dengan keanggotaan 2,500 pegawai, Kenya hanya menghantar kira-kira 400 pegawai.
Berikutan kekangan dana, beberapa pegawai AS dan antarabangsa mencadangkan supaya PBB melancarkan misi pengaman baharu di Haiti.
Namun, misi pengaman PBB sebelum ini yang berakhir pada 2017 meninggalkan legasi buruk, termasuk tuduhan memperkenalkan wabak kolera dan dakwaan serangan seksual.- AL JAZEERA










