ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri merancang mewujudkan Minggu Jawi Johor bertujuan memperkasakan tulisan Jawi kepada masyarakat mulai tahun depan.
Walau bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya perlu merangka pengisian program bagi memastikan inisiatif itu mencapai matlamat diharapkan.
“Segala bentuk cadangan bagi tujuan ini termasuk penyelarasan bersama-sama dengan Majlis Kebudayaan Negeri Johor dan Yayasan Warisan Johor boleh dimulakan bagi membincangkan terlebih dahulu pengisian Minggu Jawi Johor.
“Kerajaan negeri yakin pelaksanaan program ini bukan sahaja memperkukuhkan warisan budaya, malah turut memupuk kesedaran generasi muda terhadap kepentingan tulisan Jawi dalam membentuk identiti bangsa,” katanya dalam sesi penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini semalam.
Sidang DUN Johor semalam turut meluluskan Belanjawan Johor 2025 dengan unjuran perbelanjaan sebanyak RM1.999 bilion.
Belanjawan surplus itu melibatkan peruntukan RM1.271 bilion bagi belanja mengurus, manakala RM728 juta bagi belanja pembangunan.
Pada 21 November lalu, Onn Hafiz semasa membentangkan Belanjawan Johor 2025 bertema Maju Johor, Rakyat Sejahtera, menampilkan enam teras utama dengan 244 inisiatif.










