PETALING JAYA: Jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri-negeri terlibat merekodkan penurunan iaitu seramai 10,989 orang, sekali gus berkurangan melebihi 20 peratus berbanding semalam.
Menurut maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penurunan itu melibatkan 3,302 keluarga yang kini ditempatkan di 62 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri terjejas.
Kelantan masih mencatatkan jumlah mangsa melebihi empat angka dengan sejumlah 6,930 mangsa daripada 2,096 keluarga masih menetap di 18 PPS di tiga buah daerah iaitu Tumpat, Pasir Mas dan Kuala Krai.
Di Kedah pula, 913 keluarga dengan 3,011 orang lagi masih terjejas dan berteduh di 15 PPS di Kota Setar dan Kubang Pasu.
Bagi negeri Johor, mangsa terjejas berjumlah 509 orang daripada 149 keluarga yang kini mendapatkan perlindungan di 15 PPS di tiga daerah terlibat.
Terengganu dengan 269 mangsa daripada 64 keluarga, Melaka (131 mangsa daripada 33 keluarga), Perak (126 mangsa daripada 43 keluarga) dan Pahang (13 mangsa daripada empat keluarga).