Kutipan hasil hatrik lebih RM1 bilion bukti tadbir urus cemerlang Wan Rosdy - Utusan Malaysia

Kutipan hasil hatrik lebih RM1 bilion bukti tadbir urus cemerlang Wan Rosdy

RAZAK DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kutipan hasil hatrik melebihi RM1 bilion tiga tahun berturut-turut sejak 2022 bukti kerja keras dan kecekapan tadbir urus kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, kejayaan itu memberikan manfaat kepada rakyat menerusi pelbagai bantuan diberikan termasuk bonus sebulan setengah gaji yang diumumkan Wan Rosdy dalam pembentangan Belanjawan Pahang 2025.

“Setiap tahun sejak Wan Rosdy memegang jawatan. Menteri Besar, beliau sentiasa memberikan imbuhan atau bonus kepada penjawat awam kerajaan negeri.

“Ini menunjukkan kecekapan pengurusan dimiliki Datuk Seri Menteri Besar dalam memastikan kutipan hasil melepasi sasaran ditetapkan. Paling penting, peningkatan kutipan hasil ini tidak membebankan rakyat secara umum,” katanya di Felda Jengka 24 di sini hari ini.

Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Jengka 24 berharap insentif dalam bentuk bonus itu digunakan sebaik mungkin oleh penjawat awam di negeri ini.

“Seperti yang sentiasa dimaklumkan oleh Menteri Besar, setiap hasil diperoleh akan diagihkan semula kepada rakyat. Saya melihat Datuk Seri Wan Rosdy seorang yang kuat bekerja dan sangat teliti dalam setiap urusan pentadbiran negeri Pahang.

“Disebabkan sikap beliau, saya yakin bahawa Pahang akan terus mencatatkan lebih kejayaan membabitkan pelaburan asing dan penambahbaikan infrastruktur demi kesejahteraan ekonomi negeri ini,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Pahang 2025 yang merupakan belanjawan lebihan atau surplus berjumlah RM12 juta pada sidang DUN Pahang.

Wan Rosdy dilaporkan berkata, Belanjawan Negeri Pahang 2025 bertemakan ‘Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan’ mensasarkan kutipan hasil mencecah RM1.194 bilion, meningkat lima peratus berbanding tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, RM1.182 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus yang merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran teta serta perbelanjaan lain dan aset dengan peningkatan sebanyak RM57 juta ringgit atau 5.05 peratus berbanding tahun lalu.

Bagi tujuan perbelanjaan pembangunan pula, peruntukan disediakan berjumlah RM399.64 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN