Kos operasi meningkat punca tambang bas sekolah naik

Kos operasi meningkat punca tambang bas sekolah naik

KENAIKAN kos bahan api, penyelenggaraan kenderaan dan gaji pekerja memberi tekanan kepada pengusaha bas sekolah. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kos operasi semasa yang semakin meningkat menjadi faktor utama di sebalik cadangan kenaikan tambang bas sekolah.

Setiausaha Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah, Sakilah Yaani berkata, kenaikan kos bahan api, penyelenggaraan kenderaan, dan keperluan membayar gaji pekerja yang selaras dengan dasar gaji minimum kerajaan secara tidak langsung memberi tekanan besar kepada pengusaha bas sekolah.

“Kami beroperasi dalam situasi yang memerlukan kos tambahan seperti servis enjin, penyelenggaraan berkala, dan juga faktor cuaca yang tidak menentu.

“Jadual pengambilan pelajar yang tidak menentu, seperti dua hingga tiga kali dalam sehari, turut menyumbang kepada peningkatan penggunaan minyak dan tenaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan Pengusaha bas sekolah diminta mempertimbangkan semula keputusan menaikkan tambang bas menjelang sesi persekolahan tahun depan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, keputusan untuk menaikkan tambang bas sekolah sepatutnya membabitkan perbincangan bersama ibu bapa, pihak sekolah dan PIBG.

Dalam pada itu, Sakilah turut menegaskan bahawa pihak pengusaha bas sentiasa berunding dengan ibu bapa dan pihak berkaitan sebelum sebarang cadangan kenaikan tambang dilaksanakan.

“Sebagai contoh, tambang bulanan RM70 jika dibahagikan kepada 24 atau 25 hari persekolahan, ia bersamaan dengan jumlah yang sangat minimum bagi setiap perjalanan pergi dan balik. Kami memahami kesusahan ibu bapa, tetapi kami juga perlu mengambil kira kos operasi semasa,” ujarnya.

Selain itu, Sakilah turut menegur operasi perkhidmatan van haram yang memberi saingan tidak sihat kepada pengusaha bas sekolah berlesen.

“Kami sentiasa berusaha memastikan keselamatan pelajar menjadi keutamaan, berbeza dengan van haram yang mungkin tidak mengikut piawaian keselamatan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN