SETIU: Kerajaan Pusat meningkatkan bantuan hampir RM1 bilion kepada semua negeri dan mangsa yang terjejas akibat banjir ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah tersebut, peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta akan disalurkan kepada Kelantan dan Terengganu yang terjejas teruk akibat bencana alam tersebut.
Jumlah itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan banjir untuk kedua-dua negeri berkenaan masing-masing sebanyak RM75 juta.
Katanya, beliau meluluskan peruntukan tambahan itu berdasarkan hasil pemantauan dan penelitian yang dilakukan sebelum ini bagi mengenal pasti keadaan serta keperluan yang diperlukan di kedua-dua negeri tersebut.
“Saya bersetuju supaya peruntukan tambahan segera disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) sebanyak RM25 juta untuk negeri Kelantan
dan RM25 juta untuk Terengganu, jadi (jumlah keseluruhan setiap negeri) RM75 juta.
“Peruntukan ini akan digunakan untuk segera membaiki infrastruktur asas seperti jalan raya dan pembentung termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut.
“Bagi negeri-negeri lain, kita akan pantau dan saya tidak mahu jadi salah faham. Kita akan memenuhi keperluan dan saya jangka jumlah keseluruhan bantuan banjir kali ini hampir mencecah RM1 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan di sini, semalam.

Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kira-kira 150,000 mangsa dari 10 negeri dilaporkan terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara ketika ini.
Banjir yang berlaku itu membabitkan Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Terengganu dan Selangor.
Dalam perkembangan sama, perdana menteri juga mengumumkan kerajaan tidak mempunyai keperluan untuk mengisytiharkan darurat banjir walaupun jumlah mangsa yang terkesan semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Jelas beliau, setakat ini, bencana banjir di semua negeri terlibat dapat ditangani dengan baik oleh seluruh agensi dan jentera keselamatan terlibat.
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak memikirkan keperluan itu (darurat bencana banjir).
“Seluruh jentera keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), seluruh jentera kerajaan Persekutuan, negeri dan daerah nampak menangani masalah dengan baik,” katanya.
Selain itu, seramai 14,000 penjawat awam di Terengganu bakal menerima bantuan khas kewangan sebanyak RM500 seorang pada bulan ini.
Anwar memberitahu, Kementerian Kewangan akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM7.4 juta bagi bayaran bantuan khas tersebut.
“Seperti mana yang Menteri Besar (Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar) pernah sebut ganjaran untuk 14,000 penjawat awam Terengganu ini (berjumlah) RM500.
“Jadi saya setuju luluskan. Maknanya untuk bulan ini (diberikan) RM500 yang berjumlah sekitar RM7.4 juta,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mempertimbangkan peruntukan tersebut setelah mendapati penjawat awam di negeri ini berkhidmat dengan dedikasi termasuk ketika bertugas membantu mangsa banjir.
“Kita tengok semua bertugas dengan begitu baik. Alhamdulillah, tengok APM, bomba, pejabat daerah dan hospital, jadi saya sangat terkesan dengan cara khidmat mereka itu tanpa lelah,” ujarnya.
Sementara itu, banjir dijangka semakin pulih minggu depan susulan luruan hujan lebat diramal berkurangan di seluruh negara, khususnya di Kelantan dan Terengganu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jangkaan tersebut diperoleh menerusi ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia berdasarkan cuaca ketika ini.
“Air pasang besar di Laut China Selatan dan Selat Melaka dijangka berlaku minggu depan. Namun apabila luruan hujan berkurangan, kita harap banjir semakin baik,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor, semalam.










