PETALING JAYA: Jumlah kanak-kanak yang disahkan mengalami autisme menunjukkan peningkatan amat ketara naik 815 peratus daripada 6,991 kes pada 2013 kepada 63,966 kes setakat September tahun ini.
Kenaikan itu dilihat selari dengan jumlah kes autisme dunia yang naik 317 peratus iaitu satu kes dalam 10,000 kanak-kanak pada 1970 kepada satu kes dalam 36 kanak-kanak tahun lalu.
Persoalannya, bersediakah Malaysia dengan peningkatan mendadak kes tersebut dari segi tenaga mahir dalam kalangan pakar psikologi kanak-kanak, pakar psikologi pendidikan khas, juruterapi cara kerja (OT), juruterapi percakapan, guru pendidikan khas dan fasiliti pendidikan di semua peringkat?
Kebimbangan itu kerap kali dibangkitkan oleh pelbagai pihak yang merasakan hala tuju negara ke hadapan dalam mendepani cabaran peningkatan kes autisme, namun terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian seperti kekurangan tenaga mahir.
Pakar Pendidikan dan Psikologi Kanak-Kanak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr. Norsuhaily Abu Bakar berkata, walaupun Malaysia sudah mula mempersiapkan diri ke arah peningkatkan kes autisme, namun beberapa kekurangan perlu ditambah baik.
Katanya, negara masih kekurangan guru pendidikan khas terlatih, sukarelawan, pembantu, fasiliti untuk autisme dan bahan pengajaran dan pembelajaran.
“Kekurangan beberapa aspek tersebut secara tidak langsung menghalang kanak-kanak autisme untuk menerima pendidikan dan terapi intervensi yang sempurna.
“Walaubagaimanapun saya lihat banyak pihak swasta menyediakan pusat intervensi terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan sebagainya. Belanjawan yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk memperuntukkan dan menyediakan sekolah khusus autisme dan pusat intervensi di semua negeri amatlah disambut baik.
“Tetapi sekolah khusus autisme dan pusat intervensi ini perlu lebih diperluaskan lagi pada masa akan datang terutama kepada keluarga B40 yang mempunyai anak autisme di pinggir bandar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Setakat ini, pusat intervensi kanak-kanak autisme di bawah kendalian kerajaan hanya terdapat di Kuala Lumpur dan Putrajaya, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan pembinaan 11 lagi pusat intervensi autisme di seluruh negara.
Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan dua sekolah autisme di Sabah dan Johor bermula tahun depan.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berpandangan, antara tenaga mahir yang sangat diperlukan di negara adalah juruterapi percakapan yang amat kurang dan terhad.
Katanya, pendidikan yang sangat penting didedahkan kepada kanak-kanak autisme adalah komunikasi dan interaksi sosial kerana kebanyakan kanak-kanak istimewa itu tidak mampu bertutur.
“Bagaimanapun di Malaysia, juruterapi percakapan hanya dihasilkan oleh dua universiti iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) dan UKM. Pengambilan pelajar bagi kursus itu hanya 20 orang.
“Ia disebabkan kita kekurangan tenaga pengajar di kursus tersebut dan kebanyakan mereka beralih ke sektor swasta. Jika perkara ini tidak diambil tindakan, dalam 10 tahun akan datang maka juruterapi percakapan tidak akan mencukupi,” katanya.
Pandangan sama turut dilontarkan Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Universti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Rozanizam Zakaria yang menggesa kerajaan menambah jumlah juruterapi dalam cara kerja, percakapan dan pakar psikologi klinikal di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, bagi mencapai objektif itu, kerajaan perlu memperbanyakkan institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus di bidang tersebut.
“Pada masa sama, menaikkan insentif pensyarah di bidang sama, menawarkan biasiswa penuh kepada pelajar, merekrut pelajar sekolah yang berminat, meningkatkan pengambilan dan memperkenalkan konsep kerja separa kerajaan separa swasta untuk mengatasi isu gaji kompetitif,” katanya. – UTUSAN










