PETALING JAYA: Jabatan Penjara akan memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk sebarang siasatan berkaitan kematian seorang individu dalam tahanan reman di Penjara Pengkalan Chepa di Kelantan.
Jabatan Penjara dalam kenyataan berkata, ia susulan satu laporan polis dibuat keluarga lelaki berkaitan punca kematiannya pada 16 Disember lalu.
Katanya, pihaknya mengesahkan terdapat satu kes kematian tahanan reman semasa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 12 Disember lalu akibat pendarahan dalaman di bahagian kepala.
“Prospek merupakan tahanan reman berusia 32 tahun dan telah diterima masuk ke Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu atas kesalahan di bawah Seksyen 379 (KK) dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan tiada masalah kesihatan dikesan.
“Satu laporan polis telah dibuat berkaitan kes kematian tahanan reman ini oleh pegawai penjara bertugas.
“Berdasarkan laporan oleh pegawai perubatan dan siasatan pegawai penjara, hakim koroner telah mengesahkan punca kematian dan pihak keluarga prospek berpuas hati dengan keterangan yang diberikan seterusnya jenazah diserahkan kepada waris untuk dikebumikan,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, satu laporan polis telah dibuat oleh keluarga prospek berkaitan punca kematian prospek pada 16 Disember lalu.
“Jabatan Penjara akan memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk sebarang siasatan yang dilaksanakan.
“Sehubungan itu, Jabatan Penjara memohon kerjasama daripada orang awam agar tidak menyebar luas berita yang tidak sahih berkaitan kejadian kes tersebut,” katanya.
Portal berita semalam melaporkan seorang banduan Penjara Pengkalan Chepa di Kelantan meninggal dunia di hospital, didakwa dalam keadaan mencurigakan sebelum tarikh perbicaraan mahkamahnya.
Allahyarham Mohamad Rahiefi Mohamad Nor, 32, telah dipindahkan dari balai polis Pasir Puteh ke Penjara Pengkalan Chepa pada 18 November lalu.