Gabungan pemerintah dijangka kekalkan kuasa di Ireland

Gabungan pemerintah dijangka kekalkan kuasa di Ireland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBLIN: Parti pemerintah berhaluan kanan, Fianna Fail dan Fine Gael dijangka mengekalkan kuasa dalam pilihan raya umum Ireland, selepas pengiraan undi diteruskan semalam.

Dengan separuh daripada 174 kerusi di Dewan Rendah Parlimen diputuskan sejak pengundian pada Jumaat lalu, kedua-dua parti itu mendahului pembangkang utama, Sinn Fein.

Parti Fianna Fail, diketuai Micheal Martin, 64, memperoleh undi terbesar dengan 22 peratus, manakala Fine Gael di bawah pimpinan Simon Harris, 38, yang juga Perdana Menteri sebelum ini, mendapat 21 peratus dan Sinn Fein berada di tempat ketiga dengan 19 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi membentuk majoriti, sesebuah parti atau gabungan perlu memiliki sekurang-kurangnya 88 kerusi namun sehingga kini, Fianna Fail memenangi 23 kerusi, Fine Gael , 22, dan Sinn Fein (21).

Menurut laporan media, parti pembangkang berhaluan tengah-kiri seperti Parti Buruh dan Demokrat Sosial dilihat sebagai pilihan paling berpotensi untuk menjadi rakan gabungan bagi Fianna Fail dan Fine Gael.

Parti Hijau, yang sebelum ini menjadi anggota gabungan pemerintah, mengalami kejatuhan sokongan di seluruh negara dan dijangka hanya memenangi satu kerusi.

Dalam pilihan raya umum pada 2020, Sinn Fein yang dahulunya merupakan sayap politik Tentera Republikan Ireland (IRA) merupakan parti paling popular, tetapi gagal mendapatkan rakan gabungan yang bersedia bekerjasama.

Keadaan itu menyebabkan perbincangan panjang selama beberapa minggu, sebelum Fine Gael yang berkuasa sejak 2011, mencapai persetujuan dengan Fianna Fail.

Jumlah kerusi akhir yang dijangka disahkan awal minggu depan akan menentukan sama ada Harris kembali sebagai Perdana Menteri atau Martin mengambil alih jawatan tersebut menerusi penggiliran serupa.

Parlimen baharu dijadual bersidang buat kali pertama pada 18 Disember, namun rundingan pembentukan kerajaan dijangka berlanjutan sehingga tahun hadapan.

Kempen pilihan raya tiga minggu itu, yang dilancarkan selepas Harris mengumumkan pilihan raya mengejut pada 8 November, didominasi isu perumahan, kos sara hidup, kesihatan, perbelanjaan awam dan ekonomi.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN