KOTA BHARU: Usaha empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand untuk memasuki negara mereka menggunakan laluan tidak sah gagal apabila kegiatan itu berjaya dikesan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman, semalam.
Susulan maklumat itu, anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan kesemua PATI itu dan seorang warga tempatan yang dipercayai cuba menyerang Sungai Golok secara tidak sah di pangkalan haram Abe Yie.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, sebelum itu pada pukul 9.45 malam Unit Dron PGU Bukit Aman telah mengesan lima individu yang terdiri tiga orang lelaki, seorang wanita dan kanak-kanak dalam keadaan mencurigakan di pangkalan haram tersebut.
“Sejurus menerima maklumat sepasukan anggota bergegas ke lokasi untuk menahan kesemua mereka. Bagaimanapun, semasa ditahan suspek telah cuba melarikan diri namun berjaya diberkas.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati salah lelaki itu berasal dari Rantau Panjang dan empat lagi termasuk kanak-kanak merupakan warganegara Thailand,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua PATI itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, kelima suspek ditahan di bawah Sek 5(2) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan pendatang tanpa izin dari terus berleluasa di sempadan negara,” ujarnya.-UTUSAN