DUNGUN: Serik berdepan dengan kerugian akibat bencana banjir, sepasang suami isteri di Kampung Rantau Panjang, Hulu Dungun, di sini membina bangsal rakit sebagai tempat menyelamatkan barang dan berlindung jika musibah itu melanda.
Abdul Ghani Mamat, 59, berkata, dia membina bangsal rakit yang berukuran lima meter panjang dan tiga meter lebar itu menggunakan kayu dan 12 biji tong plastik bagi memastikan bangsal itu terapung.
“Setiap kali banjir, rumah saya dinaiki air ekoran limpahan Sungai Dungun. Saya sudah banyak kerugian sebab banyak barang rosak.
“Sebelum ini saya buat loteng di dalam rumah untuk letak barang, namun kadangkala air banjir mengenggelamkan bahagian loteng, jadi timbul idea untuk buat bangsal rakit ini,” katanya semalam.
Abdul Ghani berkata, bangsal rakit yang dibina dengan kos lebih RM3,000 itu siap dibina pada September lalu sebelum ketibaan Monsun Timur Laut.
“Bagi memastikan bangsal ini tidak hanyut, saya mengikat bangsal ini pada pokok kelapa dan tiang rumah. Di kawasan ini limpahan air sungai tidak berarus dan air tidak laju, jadi saya rasa selamat untuk berteduh di bangsal rakit ini,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini dia hanya menutup bangsal tersebut dengan kanvas berikutan kekurangan modal.
“Insya Allah jika ada duit lebih, saya akan gantikan kanvas itu dengan atap zink dan dinding kayu,” katanya.
Sementara itu, isterinya Minah Muda, 73, berkata ,bangsal rakit itu terapung buat pertama kalinya pada Khamis minggu lalu selepas kediaman mereka dinaiki air hampir dua meter.
“Pada awalnya mak cik bimbang juga kalau bangsal itu tidak terapung, tetapi Alhamdulillah bangsal itu terapung dan mak cik rasa selesa sebab tidak perlu lagi bersesak di pusat pemindahan sementara (PPS). Lagipun, PPS juga sering banjir menyebabkan kami terpaksa menumpang teduh di kediaman penduduk lain,” ujarnya.