Bekas suami Jahidah dipenjara 10 tahun

Bekas suami Jahidah dipenjara 10 tahun

ROSMAINI Abd. Raof (kanan) dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana didapati bersalah memukul isterinya sehingga cedera parah pada Jun 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen, di sini hari ini mengenakan hukuman penjara selama 10 tahun terhadap seorang peniaga, Rosmaini Abd. Raof, 41, kerana didapati bersalah memukul isterinya sehingga cedera parah pada Jun 2021.

Hakim Fatimah Zahari mengenakan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah turut menolak permohonan barisan peguam bela tertuduh yang diketuai Kamal Hisham Ja’afar untuk menangguhkan hukuman yang bermula hari ini sehingga rayuan dibuat ke Mahkamah Tinggi.

Pada 3 November lalu, keputusan akhir kes pembelaan itu terpaksa ditangguhkan selepas Rosmaini gagal hadir ke mahkamah dengan alasan dimasukkan ke hospital kerana tidak sihat.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu, manakala tertuduh diwakili Kamal Hisham, Mohd. Salleh Togimin dan Aina Kamilah Zalizan.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini dituduh memukul kepala, muka, tangan dan menghentakkan kaki ke belakang tangan Jahidah Nordin@Sylvester, 46, yang ketika itu merupakan isteri ketiganya sehingga mengalami cedera parah di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin di sini pada pukul 6 pagi, 4 Mei 2021.

Dia didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda dan boleh dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan, jika sabit kesalahan.

Jahidah yang merupakan seorang penjawat awam telah selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan pada 30 Nov 2021.

Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN