Banjir: PDRM sediakan penginapan sementara kepada anggota polis terjejas

Banjir: PDRM sediakan penginapan sementara kepada anggota polis terjejas

AYOB Khan Mydin Pitchay (kanan) turun padang meninjau keadaan banjir yang menimpa anggotanya di Taman Sri Bayu, Tumpat, Kelantan hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan penginapan sementara kepada anggota pasukan itu di negeri ini yang terjejas teruk dengan banjir gelombang pertama lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, langkah itu bertujuan meringankan beban anggota terlibat selain memberi ruang kepada anggota terbabit membersihkan penempatan mereka selepas ditenggelami banjir.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan fasiliti Pasukan Gerakan Am (PGA) akan digunakan sementara operasi pembersihan selesai.

“Anggota yang menetap di Taman Sri Bayu, di sini merupakan kumpulan yang teruk terjejas apabila kesemuanya mengalami kerugian penuh.

“Ada 112 warga PDRM yang menetap di Taman Sri Bayu, melibatkan empat pegawai, 107 anggota serta seorang kakitangan sokongan awam dan memang kesemuanya tidak dapat menyelamat apa-apa barangan semasa kejadian banjir kerana masing-masing terlibat dengan tugasan menyelamat mangsa banjir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat rumah-rumah anggota polis terkesan banjir di Taman Sri Bayu, di sini hari ini.

Ayob Khan memberitahu, beliau dimaklumkan air naik dengan cepat semasa kejadian sekali gus menyebabkan mereka mengalami kerugian seratus peratus.

Katanya, 469 anggota polis dan keluarga terjejas dengan banjir kali ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan,
Polis Kelantan merekodkan kerugian sebanyak RM1.55 juta selepas beberapa balai dan pondok polis ditenggelami banjir.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata ia meliputi 10 balai dan empat pondok polis yang tenggelam dan tidak dapat beroperasi sehingga kini.

Katanya, jumlah itu adalah anggaran awal untuk gelombang banjir pertama di Kelantan sahaja memandangkan saya tidak mempunyai maklumat berkaitan negeri lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN