27 spesies haiwan baharu ditemukan di Amazon

27 spesies haiwan baharu ditemukan di Amazon

TIKUS amfibia antara spesies baharu yang ditemukan dalam ekspedisi sekitar hutan Amazon di Peru.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA: Seekor ‘tikus amfibia’ dengan sebahagian kaki berselaput yang memakan serangga akuatik adalah antara 27 spesies baharu yang ditemukan semasa ekspedisi di sekitar hutan Amazon di Peru.

Menurut laporan Conservation International, para saintis juga menemui seekor tikus berduri, seekor tupai, lapan jenis ikan, tiga amfibia dan 10 jenis rama-rama.

Ketua Program Penilaian Pantas Conservation International, Trond Larsen berkata, 48 lagi haiwan yang ditemui oleh penyiasat berpotensi spesies baharu tetapi memerlukan kajian lanjut.

Spesies baharu itu ditemui di Alto Mayo, kawasan terlindung dengan beberapa ekosistem, wilayah Orang Asli dan kampung.

“Menemui begitu banyak spesies baharu mamalia dan vertebrata benar-benar luar biasa, terutamanya dalam landskap yang dipengaruhi manusia seperti Alto Mayo, ” kata Larsen.

Jelasnya, ekspedisi yang dilakukan antara Jun dan Julai 2022 itu melibatkan penyertaan 13 saintis, juruteknik tempatan dan ahli kumpulan Orang Asli.

“Antara satu lagi penemuan kegemaran ialah ikan berkepala gumpal, sejenis ikan keli berperisai, katanya.

Sebanyak 2,046 spesies direkodkan dalam ekspedisi selama 38 hari itu menggunakan perangkap kamera, sensor bioakustik dan pensampelan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Sebanyak 49 daripadanya diklasifikasikan sebagai spesies terancam, termasuk monyet bulu ekor kuning dan monyet pokok.

Larsen berkata, penemuan itu mengukuhkan keperluan untuk melindungi kawasan itu.

“Melainkan langkah diambil sekarang untuk melindungi tapak ini dan membantu memulihkan bahagian landskap, ada kemungkinan besar haiwan-haiwan ini tidak akan muncul lagi dalam jangka panjang,” katanya.– REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN