JERANTUT: Seramai 10 pemeriksa amali Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dua buah sekolah di sini, terpaksa dibawa menaiki bot oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menyeberangi kawasan banjir di Jalan Paya Garok, semalam.
Pegawai APM Daerah Jerantut, Muszaidi Musa berkata, masing-masing terdiri daripada lima guru yang bertindak sebagai petugas pemeriksa amali SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Piol dan SMK Sungai Retang.
“Bantuan ini dilaksanakan berikutan banjir daripada air Sungai Pahang menenggelami Jalan Jerantut-Kuala Tahan berdekatan Paya Garuk, sejak kelmarin yang menyebabkan laluan terputus untuk semua kenderaan,” katanya.
Menurut Muszaidi, pada masa sama, anggota APM Jerantut memberi perkhidmatan kepada guru, pelajar dan petugas kesihatan menyeberangi laluan Paya Garok untuk menjalankan tugas di sekitar Felda Padang Piol, Felda Sungai Retang serta Kuala Tahan.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, Jalan Jerantut-Kuala Tahan berdekatan Paya Garok ditutup kepada semua kenderaan sejak kelmarin berikutan limpahan air Sungai Pahang ke atas jalan raya sedalam 0.6 meter dan sepanjang 110 meter, bagaimanapun, keadaan air kembali surut pada aras 0.38 meter semalam namun hanya boleh dilalui kenderaan berat dan pacuan empat roda. – UTUSAN










