Tiada syarat baharu warga emas perbaharui lesen memandu

Tiada syarat baharu warga emas perbaharui lesen memandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menetapkan syarat-syarat baharu bagi pemandu warga emas khususnya yang berumur 65 tahun ke atas untuk mendapatkan dan memperbaharui lesen kenderaan.

Malah, setakat ini golongan warga emas dibenarkan memandu kenderaan seperti biasa tanpa sebarang kekangan selain wajib mengikuti penilaian kompetensi dan kesihatan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya masih membenarkan warga emas mendapatkan dan memperbaharui lesen sehingga hari ini.

“Kita tidak mengehadkan le­sen itu atau perlu sesuatu syarat untuk warga emas mendapatkan lesen atau memperbaharui lesen bagi memandu kende­raan.

“Itu peringkat dasar Kementerian Pengangkutan yang menentukannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian penutup program MyLesen Peringkat Negeri Perak 2024 di sini, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan, peningkatan kes kemala­ngan jalan raya melibatkan pemandu warga emas di negara ini boleh dikurangkan ji­ka syarat tambahan bagi pemba­ha­ruan lesen memandu untuk golongan tersebut diperkenalkan.

Antara syarat boleh di­usul­kan adalah warga emas berusia 65 tahun ke atas yang masih ingin memandu perlu melakukan penilaian kompetensi dan kesihatan berikutan tiada had umur maksimum untuk golongan itu memandu di jalan raya.

Syarat ini juga dilaksanakan di beberapa negara maju se­perti Jepun, Singapura, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom dengan tidak melarang warga emas memandu, malah menge­nakan syarat-syarat tambahan bagi memperbaharui lesen memandu mereka.

Dalam pada itu, Aedy Fadly menjelaskan, semua warga emas masih tertakluk kepada syarat-syarat JPJ seperti pemandu lain.

“Namun, JPJ dan Kementerian Pengangkutan sedang meneliti perancangan akan datang berkaitan isu ini selepas kajian dan penelitian,” ujarnya.

Menurutnya, JPJ sedar kemalangan jalan raya melibatkan pemandu warga emas meningkat setiap tahun dan ia membimbangkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Ke­selamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Profesor Madya Dr. Siti Zaharah Ishak berkata, ketika ini perunda­ngan negara hanya menetapkan had umur minimum untuk kelayakan memandu tanpa menetapkan had umur maksimum.

Bagaimanapun, ujarnya, Seksyen 30 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) mewajibkan pemandu memastikan diri mereka berada dalam ke­a­daan sihat dan berupaya untuk memandu.

Jelasnya, peruntukan ini dianggap memadai untuk memastikan individu yang beri­siko tidak memandu tanpa menghalang warga emas lain yang masih sihat dan layak.

Sementara itu, program MyLesen di negeri ini melibatkan 2,595 peserta daripada golongan B40 terdiri daripada lesen kelas B2, lesen vokasional kenderaan barang, GDL-lori, lesen vokasional kenderaan perkhidmatan awam (PSV) bas dan e-hailing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN