Tangguh dahulu hasrat bercuti ke Thailand

Tangguh dahulu hasrat bercuti ke Thailand

LALUAN utama mula dinaiki air berikutan hujan lebat di Hatyai, Thailand, semalam. – FACEBOOK HELLO HATYAI DANNOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Rakyat Malaysia yang merancang bercuti ke Thailand dinasihatkan menangguhkan perjalanan ke sana ekoran banjir semakin memburuk khususnya di selatan negara gajah putih itu.

Dalam masa sama, mereka yang kini berada di selatan Thailand diingatkan agar berwaspada, memantau kemas kini cuaca dan mengikuti pe­ngumuman serta nasihat pihak berkuasa tempatan.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, mereka perlu berhati-hati jika perlu pergi ke selatan Thailand dalam tempoh ini.

“Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan banjir teruk, memaksa ribuan orang dipindahkan ke seluruh wilayah selatan di Thailand,” katanya.

Kelmarin akhbar melaporkan, meskipun banjir mula melanda selatan Thailand berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu, ia tidak menghalang rakyat dari negara ini untuk bercuti ke sana pada cuti hujung minggu ini.

Dijangka lebih 25,000 rakyat Malaysia akan memasuki Thailand khususnya di beberapa lokasi tumpuan seperti Hatyai, Satun dan Pattani dengan 70 peratus tempahan penginapan juga sudah penuh.

Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh dilaporkan berkata, pada masa ini, keadaan di Hatyai masih terkawal dengan beberapa kawasan memasuki bandar itu mula dinaiki air.

Bagaimanapun, jelas Aida, jika hujan berterusan, berkemungkinan paras air akan naik.

Tambah Ahmad Fahmi, rakyat Malaysia di selatan Thailand juga harus mengutamakan keselamatan dan menjaga satu sama lain.

“Bagi mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh hubungi pegawai bertugas di talian +6693-6570707,” katanya.

Sementara itu, difahamkan Hatyai dan kawasan sekitarnya dilanda banjir dengan keadaan juga dikatakan semakin memburuk.

Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Sempadan negeri, Izizam Ibrahim berkata, beliau tidak mendapat maklumat lanjut kemasukan ke Thailand menerusi sempadan negeri ini, namun boleh dikatakan agak ramai ke negara jiran.

Bagaimanapun, ujarnya, ramai juga yang membatalkan perjalanan mereka selepas mengetahui selatan Thailand dilanda banjir.

“Saya nasihatkan kalau bo­leh tangguh sementara perjalanan ke Thailand terutama di tiga wilayah selatan Thailand. Hatyai dan kawasan sekitar pun agak teruk ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×