MOSCOW: Russia terbuka kepada rundingan untuk menamatkan perang Ukraine jika Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memulakan usaha itu.
Bagaimanapun, Duta Russia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Gennady Gatilov menegaskan, sebarang perbincangan perlu berdasarkan realiti kemajuan Moscow.
“Trump berjanji untuk menyelesaikan krisis Ukraine dalam tempoh satu malam. Baik, biar dia cuba. Tetapi kami adalah orang yang realistik, sudah tentu kami faham ini tidak akan berlaku.
“Tetapi jika dia (Trump) memulakan atau mencadangkan sesuatu untuk memulakan proses politik, ia dialu-alukan,” katanya.
Sebelum ini, Trump berulang kali mengkritik skala bantuan Barat kepada Kyiv dan berjanji untuk menamatkan konflik dengan segera, tanpa menjelaskan lanjut.
Kemenangan pemimpin Republikan itu pada pilihan raya presiden 5 November lalu, menimbulkan kebimbangan di Kyiv dan negara Eropah lain mengenai tahap komitmen AS dalam membantu Ukraine.
Gatilov berkata, sebarang perbincangan perlu berasaskan ‘realiti di lapangan’, menggambarkan Ukraine kini di kedudukan tertekan dalam konflik yang berlanjutan lebih dua tahun.
Tentera Russia mara dengan pantas dalam tempoh setahun di Ukraine dan kini menguasai satu perlima daripada negara itu.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berulang kali menegaskan keamanan tidak dicapai sehingga semua tentera Russia diusir dan wilayah yang ditawan Moscow termasuk Crimea, dikembalikan.
Pencerobohan Russia di Ukraine pada 2022 mencetuskan pertembungan terbesar antara Moscow dan Barat sejak era Perang Dingin, dengan Presiden AS, Joe Biden memimpin usaha untuk mengasingkan Russia.- REUTERS











