PYONGYANG: Korea Utara menuduh Amerika Syarikat (AS) dan jirannya, Korea Selatan mengheret Semenanjung Korea ke dalam senario perang.
Jurucakap Kementerian Luar menegaskan, Pyongyang tiada pilihan selain meneruskan usaha untuk membina keupayaan pertahanan diri.
“Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) akan mempergiatkan lagi usaha praktikalnya untuk menghalang ancaman ketenteraan pasukan musuh dan mengekalkan keseimbangan pasukan di rantau ini,” kata jurucakap yang tidak dinamakan kepada agensi berita negara, KCNA.
Jurucakap itu menyalahkan Washington dan Seoul kerana mengatur pelbagai jenis rancangan perang setakat tahun ini, menyebabkan Pyongyang memilih untuk menghalang risiko perang nuklear.
Dalam kenyataan berasingan, adik kepada Kim Jong Un, Kim Yo Jong, mengecam kritikan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap pelancaran peluru berpandu balistik antarbenua (ICBM) negara itu, baru-baru ini.
Beliau menegaskan, ujian senjata tersebut adalah bertujuan untuk pertahanan diri.
Khamis lalu, Korea Utara mempamerkan kekuatan ketenteraannya melalui ujian ICBM, yang dinamakan Hwasong-19.
Pelancaran ICBM Korea Utara berlaku selepas negara itu mula menghantar tenteranya untuk membantu perang Russia di Ukraine.
Tindakan Pyongyang itu menerima kecaman daripada Washington dan sekutunya, Korea Selatan serta Jepun, termasuk Eropah dan Setiausaha Agung PBB.
Pelancaran tersebut terbang lebih tinggi daripada peluru berpandu Korea Utara sebelum ini, yang didakwa mencapai ke angkasa sebelum jatuh di lautan antara Jepun dan Russia.– REUTERS










