Polis tumpas aktiviti pengedaran dadah di Jengka, rampas dua pucuk pistol - Utusan Malaysia

Polis tumpas aktiviti pengedaran dadah di Jengka, rampas dua pucuk pistol

YAHAYA Othman (depan) menunjukkan pistol dan dadah yang dirampas selepas menahan lima lelaki dalam serbuan di sebuah rumah sekitar bandar pusat Jengka di Maran, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Polis berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah di bandar pusat Jengka selepas menahan lima lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di sekitar bandar pusat Jengka di sini.

Ketua polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dalam serbuan Khamis lalu itu, polis merampas sepucuk pistol semi auto, sepucuk pistol angin bersama satu kelopak pistol dan dua butir peluru hidup bersama komponen pistol yang dileraikan serta 97 butir bebola besi disyaki digunakan sebagai peluru pistol angin.

Menurutnya, dalam serbuan Op Tapis berkenaan, pihak polis turut merampas dadah seberat kira-kira 13.47 gram bernilai kira-kira RM1,145 selain merampas wang tunai berjumlah RM1,330.

“Dalam serbuan itu, polis turut menemukan lima peket plastik lutsinar berisi serbuk disyaki dadah jenis heroin, enam peket plastik lutsinar berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu, dua peket plastik lutsinar berisi 21 biji pil kemerahan disyaki dadah jenis pil Yaba.

“Kesemua suspek yang terdiri daripada empat lelaki warga tempatan dan seorang warga Thailand berumur 24 hingga 35 tahun direman dan siasatan masih giat dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Peletakan Batu Peringatan Peristiwa serangan Subuh Berdarah di Balai Polis Kuala Krau di sini hari ini.

Yahaya berkata, siasatan mendapati, kumpulan ini dipercayai mula aktif sejak Ogos lalu dan menyasarkan penagih dadah sekitar bandar pusat Jengka dan kawasan-kawasan Felda.

Katanya, ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine dan siasatan masih dilakukan bagi mengenalpasti daripada suspek mendapatkan pistol.

Jelasnya, kesemua suspek tempatan mempunyai rekod polis dan siasatan juga mendapati seorang suspek utama berumur 26 tahun mempunyai 14 rekod kesalahan melibatkan dadah dan 14 kesalahan jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN